CHEF Naem gembira menyambut kelahiran anak pertama. FOTO ihsan Chef Naem
CHEF Naem gembira menyambut kelahiran anak pertama. FOTO ihsan Chef Naem
Najiy Jefri

 

PERSONALITI, Chef Naem berkongsi khabar gembira apabila isterinya, Nurul Syazwani Zulkaffli selamat melahirkan cahaya mata perempuan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada jam 4.10 petang, hari ini.

Naem ketika dihubungi berkata, dia bersyukur apabila kelahiran bayi sulung itu berjalan lancar selepas isterinya dimasukkan wad sejak pagi semalam.

"Melihat keadaan isteri yang menahan kesakitan sejak semalam buat saya terasa sakitnya sekali. Semalam genap usia kandungan isteri 40 minggu dan alhamdulillah petang tadi proses bersalin berjalan dengan selamat dan lancar.

"Satu perasaan yang saya tak dapat nak luahkan sebab saya berpeluang melihat sendiri proses kelahiran anak pertama. Bermula dengan kepala bayi yang keluar secara perlahan sehinggalah bayi lahir dengan begitu sempurna," katanya.

Menurut Naem, dia mengakui mengalirkan air mata tatkala melihat bayi seberat 3.5 kilogram itu selamat dilahirkan.

"Saya cuba beranikan diri melihat kelahiran anak pertama. Momen ini sekali dalam seumur hidup dan saya akui menangis melihat keadaan itu.

"Dalam pada gembira dan sedih menyambut kelahiran anak pertama, momen ini juga buat saya rasa insaf dan kini memikul satu tanggungjawab baru.

"Perasaan gemuruh ketika proses bersalin ini lebih menakutkan berbanding majlis akad nikah sebelum ini," katanya.

Naem dan Syazwani mendirikan rumah tangga pada 10 Ogos 2018 di Jempol, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 7:00 PM