Naim tetap tabah biarpun berjauhan dengan isteri. FOTO IG
Naim tetap tabah biarpun berjauhan dengan isteri. FOTO IG
Najiy Jefri


"BUKAN senang hidup berjauhan. Mujur kami saling memahami antara satu sama lain," kata chef selebriti yang juga pengacara program masakan Dapur Bujang, Chef Naem apabila jarang bertemu dengan isteri, Nurul Syazwani Zulkaffli disebabkan faktor kerjaya.

Naem atau Muhammad Naim Ramli, 28, berkata, meskipun sudah berkahwin dia akur apabila terpaksa hidup berjauhan dengan isterinya yang berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan negara di sebuah negeri di Pantai Timur.

“Alhamdulillah setakat ini kami tiada masalah untuk hidup berjauhan cuma banyak perkara dan momen yang kami tidak dapat lakukan bersama.

“Bagaimanapun kami selalu berhubung melalui telefon atau meluangkan masa bersama jika tidak terikat dengan kerja,”katanya.

Menurut Naem, dia mengakui hubungan jarak jauh memerlukan kepercayaan dan kejujuran yang tinggi terhadap pasangan.

“Tidak dinafikan kepercayaan adalah kunci utama jika mahu hubungan yang dibina berkekalan.

“Ramai yang beritahu saya jika terlalu lama berjauhan bimbang kasih sayang akan mula pudar tapi kami selalu pegang dengan prinsip saling percaya antara satu sama lain dan jujur dalam perhubungan.

“Isteri saya seorang yang sangat ringkas dan faham dengan komitmen kerja saya. Malah saya juga merestui dengan pekerjaan mulia yang dilakukannya,”katanya.

Naem dan Syazwani mendirikan rumah tangga pada 10 Ogos tahun lalu di Jempol, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 6:40 PM