Najiy Jefri

 

"TOLAK tepi soal malu atau gelaran, janji saya buat kerja halal untuk teruskan hidup," kata cef selebriti, Cef Naem yang menjual bawang bagi menambah pendapatan ketika ketiadaan kerja akibat penularan Covid-19.

Naem berkata, dia mula terbabit dalam perniagaan itu sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan lalu sebagai alternatif lain meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya memang tak boleh duduk diam di rumah. Setiap hari ada saja aktiviti yang ingin saya lakukan seperti memandu Grab atau menghantar pesanan makanan yang ditempah pelanggan.

"Namun, ketika PKP dilaksanakan saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu bagi mencari pendapatan sampingan kerana tiada penggambaran dibenarkan sepanjang tempoh itu.

"Ketika itu saya bimbang jika PKP dilanjutkan pada satu tempoh yang panjang saya mungkin akan mengalami masalah kewangan. Tambahan pula isteri sedang hamil dan saya ada beberapa komitmen yang perlu diselesaikan," katanya.

Menurut Naem, dia bersyukur perniagaan bawang yang diusahakan mendapat sambutan menggalakkan apabila harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga di pasar raya.

"Saya beruntung kerana dapat stok bawang dengan harga yang murah untuk dijual kepada pelanggan. Saya tidak mengambil untung yang banyak pun asalkan saya ada kerja yang boleh dibuat untuk menampung hidup.

"Setakat ini sudah lebih 700 guni sudah dijual dan saya masih lagi menerima permintaan jika ada peniaga yang ingin membeli dalam jumlah yang banyak," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 2:59 PM