SYAKIR memberi peluang kedua kepada remaja lelaki itu.
SYAKIR memberi peluang kedua kepada remaja lelaki itu.
Norhayati Nordin


ANAK sulung penyanyi Nora Ariffin, Mohd Syakir Iman Johan, 27, sedia memberi peluang kedua kepada remaja lelaki yang terbabit dalam isu video bercumbu dengan adiknya, Putri Nor Dahlia, baru-baru ini.

Mohd Syakir dalam hantaran di Instagram berkata semoga peluang diberi kepada remaja lelaki itu dapat membantu memulihkan semula nama baik keluarganya yang tercemar.

"Assalammualaikum semua. Hantaran video dimuat naik ini sudah menjelaskan segala isu yang terkait dengan keluarga saya.

"Alhamdulillah, selepas beberapa hari kami terpaksa menanggung malu yang sangat besar akibat perbuatan dua anak muda masih mentah dan alpa, kami sudah bertemu dengan remaja lelaki itu dan ayahnya di Petaling Jaya semalam.

"Sebagai wakil keluarga, saya akui yang adik saya, Putri Dahlia sudahpun melakukan satu kesilapan dan dosa yang besar apabila dia bersama dengan remaja lelaki itu.

"Mereka masih mentah dan tidak matang dalam membuat keputusan apabila berdua-duaan. Kami akan cuba sedaya upaya untuk mendidik adik dengan lebih baik supaya dia dapat bertaubat dan berubah," katanya.

Bagaimanapun Mohd Syakir Iman mengakui tindakan dilakukan remaja lelaki itu untuk merakam dan memuatnaik video-video itu di laman sosial adalah suatu keputusan yang sangat besar impaknya terhadap kedua buah keluarga.

"Ibu bapa remaja lelaki itu juga akui kesilapan anak mereka dalam hal ini. Oleh itu, kami cuba mengambil langkah secara teratur dan tidak terburu-buru dengan harapan masa depan dua anak kecil ini tidak terjejas dengan lebih teruk.

"Kami memberi peluang kepada remaja lelaki itu dan keluarganya untuk bantu memulihkan nama baik keluarga kami, dengan usaha mereka untuk tularkan video permohonan maaf ini supaya semua rakyat Malaysia dapat menerimanya dengan hati terbuka," katanya

Menurut Mohd Syakir, dia berdoa dan berharap semoga semua penyebaran video yang mengaibkan itu dapat dihentikan oleh orang ramai.

"Ingatlah, jika hari ini anda buka dan sebar aib orang lain, mungkin hari aib anda disebar akan tiba juga. Allah itu Maha Adil.

"Saya mewakili keluarga ingin mohon jasa baik anda semua untuk bantu kami lindungi masa depan mereka dan berikan juga peluang yang kedua. Mereka masih lagi anak bawah umur (15 tahun) dan jika anda sebar video berkenaan, itu adalah sangat tidak bermoral," katanya.

Justeru, Mohd Syakir Iman meminta masyarakat memaafkan dua remaja itu. Katanya, kita sebagai manusia tidak akan pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, dan Allah SWT Maha Pengampun.

Menerusi perkongsian itu, kebanyakan warganet menyambut baik saranan daripada Mohd Syakir. Malah, rata-rata menganggap pasti ada hikmah di sebalik dugaan menimpa kelurganya.

Semalam, Mohd Syakir mendedahkan dia sekeluarga bersedia membawa individu yang menyebarkan video adiknya bercumbu ke muka pengadilan.

Hari ini, remaja lelaki itu yang memuat naik video di Twitter tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Nora di atas tindakan dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 5:43 PM