Georgie Joseph


PENYANYI Ezlynn Ariffin, 39, musykil dengan penemuan objek misteri serupa pasir di bahagian stor rumahnya yang tidak diketahui bagaimana boleh berada di situ.

Ezlynn  yang menetap di Damansara Perdana, berkata ini kali kedua dia menemui objek itu dan sudah puas mencari punca, termasuk kemungkinan ada bahagian rumah yang rosak namun masih buntu mengenainya.

"Sebenarnya saya pernah jumpa sekali benda itu lebih dua tahun lalu dan sudah bersihkan sepenuhnya. Tiba-tiba, ia timbul balik semalam membuatkan saya buntu dan musykil apa benda sebenarnya.

"Saya kemudian periksa bahagian rumah termasuk siling, barangkali ada anai-anai, tapi tak jumpa. Padahal saya tinggal sendiri di rumah, tak tahulah siapa pula letak pasir itu di sana," katanya.

Berkongsi lanjut, penyanyi Hi Hi Bye Bye berkenaan menjelaskan dia terjumpa objek misteri itu sewaktu melakukan pembersihan di bahagian rak kasut stor rumahnya.

"Semalam, saya cuma mahu menyusun kasut-kasut di rak, tapi terjumpa pula objek itu buat kali kedua. Semestinya menjengkelkan apabila setiap kali bersihkan rumah, tiba-tiba timbul pula," katanya.

Ezlynn bagaimanapun mengambil langkah enggan memikirkan sangat perkara itu dan tidak sampai ke tahap meminta bantuan daripada pakar mistik bagi menyelesaikan misteri berkenaan.

"Saya husnuzon sajalah. Ada yang kata muntah kucing padahal saya tak bela kucing pun. Objek itu pun, sebenarnya lebih kepada serupa pasir.

"Setakat ini, saya tidak mahu lagilah rujuk atau minta panduan pakar yang berkenaan. Tiada apa-apa yang serius pun dan hendak dirisaukan sangat. Saya pun tak mahu ia menimbulkan sebarang fitnah," katanya.

Terdahulu, Ezlynn berkongsi mengenai penemuan objek itu di Instagram. Dia meminta bantuan kepada warganet untuk memberinya maklumat jika tahu apa sebenarnya objek berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 1:51 PM