AMIN Idris.
AMIN Idris.
Najiy Jefri

 

PENGACARA dan penceramah motivasi, Amin Idris, 39, mengaku kesal apabila wajahnya digunakan sebagai 'modal' penipuan oleh sindiket pelaburan patuh syariah sejak Mac lalu. 

Amin dihubungi berkata, kira-kira lebih 100 orang pengikutnya di media sosial menjadi mangsa penipuan dan mengalami kerugian ribuan ringgit. 

"Saya kesal apabila gambar saya bersama ustaz dan ustazah terkenal digunakan oleh pihak terbabit sebagai pelaris untuk satu pelaburan patuh syariah. 

"Malah sindiket terbabit dengan beraninya mengunakan logo Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bank Negara untuk menyakinkan orang ramai. 

"Modus operandinya sangat mudah dengan membuat promosi di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Kemudian penipuan itu dihubungkan pula di aplikasi WhatsApp secara mengenakan bayaran untuk pelaburan ingin dibuat dengan menjanjikan pulangan berlipat kali ganda pada kadar segera. 

"Sebenarnya, saya sudah perasan penipuan ini sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Sindiket ini mengambil kesempatan atas kesempitan hidup yang dilalui rakyat. Ditambah pula, dengan kurangnya kesedaran terhadap dunia pelaburan membuatkan mereka mudah terpedaya," katanya. 

AMIN Idris.
AMIN Idris.

Menurut Amin, satu laporan polis sudah dibuatnya baru-baru ini dan berharap orang luar tidak mudah percaya dengan sindiket pelaburan tidak sahih itu.

"Saya sudah penat naik turun balai polis untuk memberi keterangan. Ramai yang membuat laporan polis terhadap saya sehingga terpaksa juga ke beberapa negeri untuk menjelaskan keadaan sebenar. 

"Saya ingin jelaskan di sini, saya tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti pelaburan. Malah, saya sendiri pun tidak mempunyai syarikat pelaburan. 

"Saya hanya memiliki syarikat dan bergelar Ketua Pegawai Eksekutif kepada syarikat Akademi Magnet Sukses Sdn Bhd sahaja. 

"Justeru saya berharap supaya semua pihak lebih berhati-hati kerana salah satu ciri sindiket penipuan ini mempunyai unsur 'too good to be true'. 

"Maksudnya, mudah sangat dapat untung dan cepat juga dapat pulangan yang dibuat meski modal dikeluarkan kecil sahaja," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 5:09 PM