TIDAK meniru Andy mahupun Santesh untuk raih perhatian peminat Melayu.  FOTO: Aizuddin Saad
TIDAK meniru Andy mahupun Santesh untuk raih perhatian peminat Melayu. FOTO: Aizuddin Saad
Ridzuan Abdul Rahman

DIAKUI nama Alvin Chong dikenali ramai menerusi lakonan dalam drama Melayu antaranya Dia Semanis Honey.

Bagaimanapun, namanya kurang menyerlah sebagai penyanyi apabila empat lagu Melayunya berjudul Lagu Mu, Mencintaimu, Tajam dan Tak Terganti gagal membawa impak kepada peminat.

Tidak putus asa, Alvin, 29, kini tampil dengan single kelima berjudul Sayangku Salmah ciptaan Dedeq berentak raggaeton.

Bagaimanapun yang kurang enaknya, Alvin dikatakan meniru Andy Bernadee untuk cepat popular.

Juga dikatakan dia mengikut penyanyi Santesh yang menyanyikan lagu Amalina untuk meraih perhatian peminat Melayu.

"Bagi saya tuduhan ini tak berasas kerana sesiapa sahaja berhak menyanyikan apa sahaja genre dan rentak lagu.

"Saya akui orang akan bandingkan kami berdua. Saya pun pernah ajukan soalan sama kepada Universal Music.

"Mereka kata ia bukan persoalan kerana saya adalah saya. Saya cuma nak buat genre berbeza," katanya.

Menurutnya lagu ini sesuai dengan suaranya dan memberi sinar baharu dalam kerjayanya sebagai penyanyi.

"Sejak asal terima lagu ini, judulnya Sayangku Salmah dan ia diterima baik semua golongan peminat.

"Mungkin kerana tajuk atau mungkin kerana TikTok yang dapat sambutan, itu saya tak pasti.

"Kenapa judul Sayangku Salmah, sebab ia nama yang sangat sinonim dan dekat dalam komuniti kita," katanya.

Alvin berkata, dia pasti setiap individu pasti ada kawan atau ahli keluarga yang bernama Salmah.

"Buktinya, apabila saya memuat naik lagu ini di TikTok ramai cakap nama kawan mereka Salmah dan ada juga nama adik mereka Salmah.

"Pendek kata, nama ini dipilih sebagai simbolik kepada wanita bagi disesuaikan dengan muzik video dan jalan cerita lagu ini," katanya.

Pelancaran lagu dan muzik video Sayangku Salmah dibuat di HighPark Suites by Gamuda Land, Damansara Utama.

Dua minggu lalu, dia memuat naik video TikTok lagu ini yang kini mencecah lebih 20 juta tontonan.

Muzik video rasmi Sayangku Salmah yang dilancarkan pada 28 Ogos lalu di saluran YouTube AlvinChongVEVO turut ditampilkan dalam bentuk travelog sebanyak tiga episod.

Ia adalah inisiatif Alvin dan pasukannya dalam memaparkan lokasi menarik yang terdapat dalam MV itu yang bakal ditayangkan di platform ourdaily.co bermula 7 September ini bagi episod pertama, 14 September (episod kedua) dan 21 September (episod ketiga).

Muzik video rasmi Sayangku Salmah dan siri travelog ini adalah sebuah projek perintis antara AirAsia dan Universal Music Malaysia di bawah penerbitan REDCARPET.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 6:20 AM