AMAN reda pemergian ayah namun terkilan tak dapat sempurna urusan jenazah arwah.
AMAN reda pemergian ayah namun terkilan tak dapat sempurna urusan jenazah arwah.
Norhayati Nordin


KEHILANGAN insan tersayang yang juga ahli keluarga paling rapat seperti bapa, pastinya pengalaman sangat memilukan meskipun hati harus reda.

Apa yang sudah ditentukan Allah pada hamba-Nya perlu diterima kerana sesungguhnya qada dan qadar kehidupan itu sudah ditetapkan.

Bagi penyanyi Aman Aziz, 27, apa yang pasti ada rasa terkilan di hatinya kerana tidak dapat menunaikan amanat terakhir Allahyarham bapa tercinta, Abdul Aziz Abdullah, 67, yang meninggal dunia pada 14 Ogos lalu.

Menurut Aman, bapanya mengalami serangan jantung selepas mengadu sesak nafas. Allahyarham kemudian dihantar ahli keluarga ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Apapun sudah ketentuan takdir Allahyarham ayah akhirnya pergi meninggalkan kami sekeluarga. Saya reda, namun terkilan kerana ada pesan yang tak dapat ditunaikan.

"Allahyarham ada berpesan supaya semua anak lelakinya menguruskan pengebumian apabila dia meninggal dunia," katanya.

Kata Aman yang pernah popular dengan lagu Sulit, pesanan Allahyarham bapanya itu diketahui daripada abang yang menghubungi dan bertanya kenapa dia tidak muncul di kawasan tanah perkuburan.

"Mengikut kata abang, arwah ayah mahu anak-anak lelaki menyempurnakan urusan jenazahnya seperti mandi, kafan, solat dan pengebumian.

"Saya pula ketika itu duduk di rumah menemani ibu yang tidak boleh bergerak. Namun, apabila sampai ke tanah perkuburan didapati jenazah arwah sudah pun selesa

i dikebumi," katanya.

Mengulas juga kenangan manis bersama Allahyarham bapa, Aman berkata, banyak pesanan berguna yang ditinggalkan arwah untuk terus diingati sepanjang kehidupannya.

"Apa yang tetap segar di ingatan, Allahyarham ayah mahu saya sentiasa menjaga solat, pandai pilih kawan dan tidak melakukan perkara tak elok serta bukan-bukan.

"Arwah ayah juga sangat menyokong minat saya untuk membabitkan diri dalam kerjaya nyanyian dan apa yang sudah diperoleh setakat ini, begitu dibanggakannya.

"Saya akan teruskan usaha untuk membina nama dan memperjuangkan bakat dalam kerjaya seni sejak 2014 lalu selepas menyertai Akademi Fantasia (AF)," katanya.

Berbicara perkembangan kerjayanya, Aman atau nama sebenar Mohammad Razman Abdul Aziz berkata, dia teruja dapat menyertai program realiti Immortal Songs.

Katanya, banyak pengalaman d

an ilmu berguna diperoleh yang diyakini dapat membantu memantapkan lagi kerjaya nyanyiannya untuk lebih bersinar pada masa depan.

Sehubungan itu, program Immortal Songs akan menemui penonton TV3 sebanyak tujuh episod dan mula disiarkan pada 30 Ogos ini, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 6:47 AM