SHARNAAZ. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SHARNAAZ. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri


BEKAS isteri pelakon Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila Mohd Noor mengakui tidak serik untuk berkahwin lagi walaupun berdepan kegagalan dalam rumah tangga.

Nabila yang juga kakak kepada pengacara popular Neelofa berkata, jika ditakdirkan berkahwin pada masa mendatang dia tidak akan menolaknya.

"Saya tak serik nak berkahwin lagi. Saya percaya dengan ketentuan Ilahi dan kalau ada jodoh saya mahu berkahwin lagi. Saya nak tambah bilangan cahaya mata. Namun, buat masa sekarang saya lebih selesa memberi tumpuan kepada diri sendiri dan mahu membesarkan anak, Jebat Jayden dengan penuh kasih sayang. Kalau ada sesiapa nak berkawan pun, mungkin ambil masa untuk saling mengenali," katanya.

Nabila berkata, dia gembira apabila Sharnaaz tidak pernah lupa melawat anaknya dan memberikan sepenuh kasih sayang.

"Saya memberikan kerjasama bagi memudahkan proses pertemuan bapa dan anak. Bagi saya, Sharnaaz seorang bapa yang bagus kerana dia tak mengabaikan tugasnya.

"Hari-hari Sharnaaz meluangkan masa melihat dan bermain dengan anak. Dia sangat komited serta berdedikasi. Saya pun tak kisah dia nak berjumpa dengan anak pada bila-bila masa memandangkan jadual kerjanya sebagai pelakon tidak menentu.

"Apa yang penting adalah anak, dia adalah fokus utama kami. Saya sendiri tak mahu anak rasa kurang kasih sayang daripada kedua belah pihak," katanya.

Nabila dan Sharnaaz bercerai pada 9 Julai lalu secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:37 PM