AKUI sedikit ketinggalan dari aspek teknik lakonan.
AKUI sedikit ketinggalan dari aspek teknik lakonan.
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO!

Pada satu tahap kehidupan, ramai pastinya terfikir jika kita memilih jalan yang tepat baik dalam kerjaya mahupun aspek lain.

Demikian juga dilema dihadapi pelakon Kim Bum.

Baru menamatkan khidmat ketenteraannya pada Mac lalu, dia mengakui pernah mempersoalkan mengenai perkara itu dalam dirinya juga.

Selepas 15 tahun menjadi pelakon, dia berdepan pelbagai situasi yang membuatkan timbul pertanyaan itu.

"Apabila saya bersembang dengan rakan yang bekerja di pejabat, saya rasa situasinya sama saja untuk apa juga pekerjaan. Pada tahun ketujuh, kita akan refleksi semula apa yang kita lakukan dalam tempoh itu.

"Pada tahun ke-10, kita berdepan pengalaman kemerosotan atau dilema. Jadi, kita akan berfikir sama ada pekerjaan itu tepat atau tidak untuk kita. Bagaimanapun, perasaan itu datang awal dalam saya disebabkan sudah mula bekerja sejak kecil.

"Namun saya belajar untuk mematangkan diri menerima setiap saat yang menyukarkan dalam hidup. Itu pengajaran yang saya sendiri belajar sepanjang 15 tahun bekerja," katanya.

Kembali memeriahkan industri seni di Korea Selatan, Kim Bum turut berkongsi mengenai drama terbaharunya Tale of the Nine Tailed.

Menurutnya, dia mengakui sedikit ketinggalan dari aspek teknik lakonan.

"Sekarang ada trend walaupun dalam teknik lakonan yang digunakan pelakon. Barangkali disebabkan saya sudah berlakon sejak kecil, saya masih terikat dengan teknik dan kemahiran yang saya gunakan sejak dulu.

"Ada beberapa perkara baharu yang saya belajar kini dengan pengarah. Saya dapati idea terdahulu perlahan-lahan berubah namun berkembang menjadi lebih seronok untuk dilakukan," katanya.

Kim Bum turut berkongsi mengenai transformasi dirinya terhadap cita rasa fesyen cukup ketara sekarang.

Baginya, perubahan itu sangat penting bagi menyerlahkan pelbagai sisi berbeza dalam dirinya.

"Selepas menerima watak dalam drama itu, kemahiran berfesyen saya semakin ketara. Saya memakai busana yang selalunya saya hanya sarung ketika sesi fotografi, tapi sekarang menggayakannya di luar kerja sekalipun.

"Saya mahu cuba pelbagai jenis penampilan sebagai pelakon. Ia sangat menyeronokkan dalam lakonan saya dan berusaha untuk kekal dalam karakter itu sehingga penggambaran tamat.

"Secara semula jadinya, saya dapat menggambarkan watak saya, sekali gus mempengaruhi cara pemikiran serta nilai yang ada dalam diri. Disebabkan itu, saya suka menonton semula corak kerja saya yang terdahulu untuk refleksi semula diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 6:30 AM