PEMILIK rangkaian Bubblebee Setapak, Sharnaaz Ahmad pada majlis pelancaran Bubblebee cawangan Setapak di Pangsapuri Suite Danau. FOTO ROHANIS SHUKRI
PEMILIK rangkaian Bubblebee Setapak, Sharnaaz Ahmad pada majlis pelancaran Bubblebee cawangan Setapak di Pangsapuri Suite Danau. FOTO ROHANIS SHUKRI
Najiy Jefri


WALAUPUN hubungan pelakon Sharnaaz Ahmad dengan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor kembali pulih, namun segala keputusan diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan status perceraian mereka.

Sharnaaz ketika ditemui berkata, hubungan dia dan Nabila kini boleh dianggap sebagai kawan yang membesarkan anak tunggal mereka, Jebat Jayden yang bakal menginjak usia dua tahun Ogos ini.

"Kami belum bercerai tapi keputusan mahkamah bakal keluar tidak lama lagi. Apa yang saya nak beritahu sekarang ini hubungan kami sebagai kawan yang akan bersama-sama membesarkan anak.

"Berkaitan keputusan rumah tangga, saya serahkan kepada mahkamah. Sejak kes ini difailkan di mahkamah, saya reda dan bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

NOOR NABILA
NOOR NABILA

"Kalau hubungan kami kembali berbaik pun, hanya mahkamah yang akan menentukan sekarang ini sebabkan kuasa diserahkan kepada mereka dan apa saja keputusan yang bakal diterima. Tapi, apa yang saya perjuangkan selama ini untuk bersama Jebat, saya sangat bersyukur kerana Nabila mengizinkan saya bertemu atau membawa anak keluar tanpa sebarang halangan.

"Persetujuan ini adalah rahmat terbesar untuk diri saya. Kalau dulu saya ada masalah untuk berjumpa anak tapi sekarang semuanya sudah okey. Menjawab mengenai perhubungan saya sendiri tiada jawapan sebab keutamaan saya bukan lagi perkahwinan tapi besarkan anak dan ingin pastikan Jebat tidak hilang bapa dari pandangan matanya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pembukaan cawangan ketiga Bubblebee Malaysia di Danau Kota, Setapak, di sini semalam.

Menurut Sharnaaz, dia berterima kepada Nabila kerana tidak pernah menafikan haknya sebagai bapa dan tiada apa lagi yang diinginkan kerana sudah dapat bertemu Jebat.

"Apa yang saya perjuangkan selama ini, semuanya untuk Jebat. Saya sudah dapat apa yang saya mahukan. Hubungan perkahwinan sudah jatuh nombor dua, apa yang penting Nabila mengiktiraf saya sebagai bapa kepada Jebat.

"Saya perlu menghormati Nabila, jika tidak kerana dia, belum tentu saya dapat Jebat. Nabila seorang ibu yang bagus. Apa yang saya nampak, Jebat dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Itu tidak boleh saya nafikan," katanya.

Katanya, dia akan bertemu Jebat tiga kali sehari iaitu pada sebelah pagi sebaik pulang daripada gimnasium , petang dan malam. Walaupun kepenatan terpaksa berbuat demikian, Sharnaaz tidak mengeluh asalkan dapat berjumpa dengan buah hatinya setiap hari.

"Jika saya sibuk dengan penggambaran dan terpaksa keluar awal pagi ke lokasi, saya akan menghubungi Jebat melalui panggilan video.

"Pada peringkat awal dulu, terasa pelik juga kenapa saya terpaksa melalui proses begini sedangkan Jebat adalah anak saya, tapi saya sudah biasa. Buat masa sekarang saya perlu bersyukur kerana saya dapat apa yang saya perlu dapat," katanya.

Sharnaaz dan Nabila berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 11:26 AM