SHARNAAZ Ahmad.
SHARNAAZ Ahmad.
Sudirman Mohd Tahir


WALAUPUN kemelut rumah tangga pelakon, Sharnaaz Ahmad bersama isteri, Noor Nabila belum berkesudahan, Sharnaaz mengambil pendekatan untuk tidak membiarkan dirinya dalam kesedihan.

Sharnaaz, 34, atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, dia hanya mahu buat yang terbaik dalam hidupnya dan masa depan.

Perkara itu dikongsi Sharnaaz yang kini popular menerusi drama Lelakimu Yang Dulu di Instagram bagi menjawab komen peminat @nurr.diyana yang bertanya bagaimana Sharnaaz begitu kuat dan mampu tersenyum dalam keadaan dilalui kini.

"Sedih pun tak guna. Baik buat terbaik untuk terus hidup dan bahagia dengan masa hadapan," tulisnya.

Jawapan balas Sharnaaz itu mendapat 90 tanda suka dan dipersetujui oleh beberapa komen lain daripada pengikutnya di Instagram.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Sharnaaz memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 30 September lalu.

Sharnaaz bertindak memfailkan permohonan berkenaan terhadap Noor Nabila untuk memperbetulkan keadaan serta spekulasi yang berlegar-berlegar mengenai rumah tangga mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 November ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah sama turut menetapkan 6 November ini untuk Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Sharnaaz dan Noor Nabila mengemukakan laporan berhubung kemelut rumah tangga mereka.

Perlantikan JKP itu adalah susulan Sharnaaz tidak bersetuju dengan tuntutan cerai Noor Nabila yang memfailkan permohonan cerai secara baik pada 27 Ogos lalu.

Sharnaaz dan Noor Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun.

SHARNAAZ bersama rakannya sempena Cycling in Gangwon, Korea Selatan. FOTO Instagram Sharnaaz.
SHARNAAZ bersama rakannya sempena Cycling in Gangwon, Korea Selatan. FOTO Instagram Sharnaaz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 2:44 PM