FAIZAL Tahir. FOTO Khairul Azhar Ahmad
FAIZAL Tahir. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan komposer, Faizal Tahir atau FT berkongsi pendapatnya di Twitter mengenai sikap masyarakat yang terlalu mudah mengikut 'trend' dan melakukan cabaran tarian tanpa menghiraukan agama.

Ciapan ditulis penyanyi lagu Ragaman itu sebagai nasihat buat pengikut-pengikutnya untuk sentiasa berfikir mengenai agama sebelum melakukan sesuatu perkara.

"Yang beragama Islam khususnya, kalau nak buat apa-apa tu, fikirlah dulu sama ada jika Nabi Muhammad SAW tahu apa yang kita buat itu, baginda akan 'approve'. Sedih tengok," tulisnya.

Menyambung ciapannya, Faizal bertanya kepada masyarakat sama ada tindakan mereka mengikut dan menyertai cabaran-cabaran itu turut memberi manfaat kepada masyarakat atau tidak.

"Pernahkan kalian berfikir, bila buat apa-apa cabaran berjoget bagai dan muat naik ke media sosial, apa manfaatnya buat masyarakat? Habiskan masa dan tenaga buat benda yang tak ada guna dan tidak menyumbang kepada amalan kita untuk bekalan bila dah mati nanti. Fikir-fikirkanlah.

"Jangan membabi buta ikut semua benda yang orang lain buat hanya kerana ia adalah 'trend'. Ini adalah cara bagaimana Dajjal menghasut kamu. Allah bagi akal. Jangan sia-siakan. Pesanan untuk diri saya juga," tulisnya.

Ramai yang bersetuju dengan pendapat Faizal itu dan tak kurang juga yang membuka semula gambar-gambar lamanya serta mengungkit tindakan pernah dilakukan satu ketika dahulu juga tidak mencerminkan kata-katanya.

Faizal bagaimanapun menerima setiap kritikan itu secara positif dan tidakmenganggap dirinya sempurna. Sebaliknya, dia kini sentiasa belajar untuk memperbaiki diri.

"Saya masih perlu belajar lebih banyak lagi dan perbaiki diri. Sampai ke mati, saya takkan sempurna. Ini cara Allah 'tegur' saya untuk buka mata dan hati. Ada banyak perkara yang saya lakukan di masa lalu dan saya tidak pernah bangga.

"Tapi, itu semua adalah sebagai satu perkara untuk mengajar kita. Alhamdulillah," tulisnya dalam satu komen balas kepada pengikutnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 10:52 AM