TENAGA produksi 7 Hari Mencintaiku dan lagu Lelaki Teragung pada majlis meraikan mereka.
TENAGA produksi 7 Hari Mencintaiku dan lagu Lelaki Teragung pada majlis meraikan mereka.
Sudirman Mohd Tahir


Sebulan selepas kejayaan drama 7 Hari Mencintaiku mencatat 12 juta penonton yang ditayangakan menerusi slot Akasia di TV3, lagu tema drama itu berjudul Lelaki Teragung pula dinobatkan Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31.

Sebagai tanda penghargaan kepada kru drama, pelakon, penyanyi, komposer dan penulis lirik, syarikat Pena Creative Pictures selaku penerbit drama serta Indigital Music sebagai penerbit lagu itu bekerjasama mengadakan majlis kesyukuran.

Penerbitnya Datuk Ziela Jalil berkata, perancangan untuk mengadakan majlis itu sudah lama, namun kekangan masa daripada kebanyakan artis membuatkan majlis itu tertunda.

“Ini bukan kerjasama pertama syarikat saya dengan Indigital Music. Sebelum ini lagu Di Pintu Syurga nyanyian Dayang Nurfaizah juga dipilih menjadi lagu tema drama Ariana Rose empat tahun lalu.

“Drama dan lagu itu berjaya menarik perhatian peminat. Malah lebih membanggakan lagu itu mendapat tempat di AJL. Sekali lagi sejarah berulang tahun ini, cuma lebih menggembirakan apabila drama ini menjadi drama paling tinggi ditonton setakat ini dan lagu tema pula bergelar juara AJL31.

“Apa saya boleh katakan ini adalah rezeki kami. Saya sentiasa beritahu pihak Indigital Music supaya kerjasama ini dapat berterusan dalam drama saya yang lain. Saya melihat gabungan dua syarikat ini ada magis tersendiri,” katanya.

Ziela berkata, syarikatnya tidak akan menerbitkan kesinambungan drama lakonan Shukri Yahaya dan Siti Saleha itu walaupun mendapat permintaan ramai.

Dia akan menyerahkan perkara itu kepada penerbit bersama yang juga penulis novel iaitu Siti Rosmizah untuk membuat keputusan.

Pemilik Indigital Music, Poji Samad berkata, dia tidak teragak-agak untuk terus bekerjasama dengan Ziela kerana yakin dengan kualiti drama yang diterbitkan.

“Kejayaan kerjasama pertama kami pada 2013 mendorong usaha sama berterusan. Disebabkan itu setiap kali Ziela mendapat slot Akasia, dia pasti mempelawa saya menyumbangkan lagu tema.

“Diakui selepas lagu Lelaki Teragung menjadi lagu tema drama itu, sambutannya lebih hebat. Banyak rakan dalam industri bertanya formula kejayaan itu. Jawapan saya mudah iaitu perlu saling bekerjasama. Jarang kita melihat drama dan lagu tema berjaya dalam satu masa,” katanya.

Bagaimanapun, Poji menjelaskan, syarikatnya tidak mengamalkan konsep minta dan beri sebaliknya perlu melihat kesesuaian drama serta lagu.

“Kami bukannya main bagi saja. Kami perlu menjaga kredibiliti dan reputasi. Disebabkan itu lagu, penyanyi dan drama perlu bersesuaian,” katanya.

Sementara itu penyanyi Dayang Nurfaizah menyifatkan kejayaan lagu Lelaki Teragung dan drama itu satu kebetulan.

“Ini adalah rezeki kedua-dua pihak. Saya selaku penyanyi sentiasa berfikiran terbuka dengan setiap keputusan. Sama seperti kejayaan lagu Di Pintu Syurga dan drama Ariana Rose dahulu. Tak ada istilah drama dan lagu perlu berjaya pada masa sama.

“Semua ini kebetulan. Tapi setiap orang inginkan yang terbaik dalam karya mereka. Pada masa akan datang, saya okey saja untuk bekerjasama dengan kedua-dua pihak. Drama antara cara mempromosikan lagu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah barisan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku. Antaranya Siti Saleha, Liza Abdullah, Anne Abdullah, pengarah dan kru produksi.

Mewakili lagu Lelaki Teragung pula ialah komposer, Natasha dan penulis lirik Iman Imran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2017 @ 5:02 AM