JOSIAH Hogan. FOTO NSTP
JOSIAH Hogan. FOTO NSTP
Georgie Joseph


BAGI menghormati rakan dan golongan kurang bernasib baik serta tidak menyambut Aidilfitri tahun ini, pelakon Josiah Hogan, 34, dan isteri NurulHidayu Mohamed Nordin membuat keputusan meraikan Aidilfitri secara sederhana termasuk tidak membeli baju raya.

Josiah berkata, mereka juga tidak akan memuat naik gambar keluarga, gambar ketika menikmati juadah raya dan sebagainya. Cukuplah sekadar memberi ucapan ringkas di laman sosial.

"Ramai tengah hidup susah, tak dapat balik jumpa keluarga, baru bercerai, baru kematian orang tersayang dan lain-lain. Bagi mereka, tentunya Aidilfitri tahun ini sarat dengan kesedihan.

"Jadi untuk hormat mereka yang sedang menghadapi ujian-ujian ini, eloklah kita sama-sama sekadar mengucapkan selamat hari raya sahaja di laman sosial dan menjaga hati rakan-rakan yang sedang susah," katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama Degup Cinta itu cuma berkongsi tindakannya itu dari sudut peribadi. Baginya, cara sambutan itu masih terpulang kepada sesiapapun jika mahu meraikannya dengan cara tersendiri.

"Saya harap apa yang saya kongsi ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. Terserah kepada sesiapa pun bagaimana untuk menyambutnya.

"Cumanya terlalu ramai kawan saya di lama sosial kurang bernasib baik tahun ini dan saya cuma nak kongsi kerana memahami kesusahan mereka. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 4:51 PM