JOSIAH
JOSIAH
Georgie Joseph


SEBUAH syarikat produksi luar negara sanggup mengubah watak dalam filem mereka semata-mata mahu pelakon tanah air, Josiah Hogan, 33, membawa watak itu.

Josiah sebelum itu menolak tawaran berkenaan kerana dia dikehendaki melakonkan adegan bogel dan lucah dalam filem terbabit.

Josiah berkata, pada mulanya dia menolak tawaran terbabit dengan alasan demikian, namun syarikat produksi dari negara Barat itu bersetuju untuk mengubah watak itu tanpa memerlukan Josiah melakonkan adegan sedemikian.

“Saya bersyukur syarikat produksi itu mengubah watak berkenaan dan tidak lagi membabitkan babak negatif menyebabkan saya menerima semula tawaran itu,” katanya yang bakal membawa watak pembantu dalam filem berkenaan.

Josiah berkata, dia memang mengimpikan untuk berlakon dengan syarikat produksi luar negara, tetapi kekal dengan prinsip tidak akan melakonkan babak intim atau bogel.

“Saya percaya untuk menjadi pelakon terbaik atau sebuah filem yang bagus tidak semestinya perlu ada babak bogel atau lucah. Filem Hollywood pun banyak yang meletup tanpa adegan sebegitu,” katanya

Bercerita lanjut mengenai tawaran berkenaan, Josiah berkata, dia belum mendapat maklumat terperinci dan skrip buat masa sekarang.

“Saya dimaklumkan pengarahnya biasa bekerja di industri filem Hollywood. Saya juga belum dimaklumkan siapa pelakon yang akan membawa watak utama. Saya pula akan menjayakan watak pembantu dan berharap peluang ini bakal membuka laluan ke tahap lebih jauh.

“Saya memang bercita-cita untuk berlakon di Hollywood dan berharap pintu rezeki itu terbuka dengan pembabitan dalam produksi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 3:44 PM