AZLEE Khairi sengaja sebut ‘gorgos’ dalam babak drama ‘Maaf Tak Indah’ di TV3. FOTO Aziah Azmee
AZLEE Khairi sengaja sebut ‘gorgos’ dalam babak drama ‘Maaf Tak Indah’ di TV3. FOTO Aziah Azmee
Georgie Joseph


PERKATAAN ‘gorgos’ dalam dialog babak drama bersiri popular Maaf Tak Indah di TV3 baru-baru ini trending secara tiba-tiba dan menjadi bahan lawak netizen.

Pelakonnya, Azlee Khairi, 31, mengakui babak berkenaan memang dirancang dan dia sengaja menyebut ‘gorgos’ yang asalnya daripada perkataan ‘gorgeous’ untuk ‘menjentik’ penonton.

“Ia sebenarnya apa yang sudah dirancang oleh penolong pengarah iaitu Sam. Dia cakap dengan saya, dia tak nak guna ‘gorgeous’ disebabkan perkataan itu sudah terlalu biasa dan kerap digunakan. Dia sendiri mahukan satu perkataan yang boleh bawa kelainan.

“Dia memang sengaja nak menggunakan perkataan itu untuk melihat sama ada penonton kita peka atau tidak sebenarnya dengan drama ini,” katanya.

Terdahulu, klip singkat babak itu menjadi tular di laman sosial gara-gara Azlee yang melakonkan watak Raimie menyebut ‘gorgos’ sekali gus ia dijadikan bahan jenaka oleh netizen.

Tayangan drama bersiri yang turut menampilkan lakonan Azar Azmi, Fizo Omar dan Ruhainies itu berakhir Khamis lalu.

Azlee mengakui penerimaan penonton terhadap drama itu memberi impak yang sangat besar dalam kerjaya lakonannya juga.

“Disebabkan ego Raimie yang tinggi melangit hingga melukakan hati Syazan (Azar Azmi) membuatkan kesannya saya dikecam teruk netizen.

“Walaupun sekadar lakonan, saya tidak sangka ia begitu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Saya dimaki dengan perkataan kesat melalui mesej langsung (DM) dihantar ke Instagram.

“Banyak juga kecaman diterima, tetapi saya faham bahawa lakonan berjaya. Saya tidak kecil hati pun kerana ia hanya lakonan. Dalam realiti, saya tidaklah terlalu ego seperti Raimie,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 11:49 AM