A AIDA. FOTO Eizairi Shamsudin
A AIDA. FOTO Eizairi Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT popular, Datuk A Aida menerima mesej daripada bekas suaminya yang juga pelakon, Ariff Aziz mengucapkan terima kasih atas penjelasan isu kehilangan wang pelaburan RM200,000.

Aida, 50, berkata, mesej itu dikirim Ariff menerusi Direct Message (DM) di Instagram baru-baru ini.

“Dia mesej, saya balas. Saya hanya cakap okay dan terima kasih saja. Kita memang bagi tiga nama yang tahu mengenai akaun bitcoin untuk siasatan. Hasil siasatan polis mendapati dia tidak terbabit. Itu yang dia mesej. Jadi, tidak perlu untuk saya bergaduh dengannya.

“Bagi saya, apa yang pernah berlaku antara kami biarlah berlalu. Ia sudah tinggal sejarah. Masing-masing boleh fokus dengan kehidupan sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Menerusi mesej yang dihantar, bekas suaminya juga berharap mereka masih boleh menjadi kawan.

“Saya tidak ada apa-apa masalah dengan dia. Kami bercerai pun cara baik. Cuma, buat masa sekarang biarlah masing-masing fokus dengan kerjaya dan kehidupan sedia ada.

“Apatah lagi filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda terbitan syarikat saya baru ditayangkan. Jadi, saya mahu fokus betul-betul.

“Saya berharap peminat dapat memberi sokongan dan pergi menonton filem tempatan. Saya boleh janjikan, filem ini berbeza dengan karya sedia ada,” katanya.

Filem arahan Bade Azmi itu mula ditayangkan di seluruh negara bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 5:21 PM