Syafil Syazwan Jefri

SEIRING peredaran waktu, Netflix hadir dengan filem dari pelbagai negara untuk disajikan kepada pengguna. Terbaharu, sebagai pembuka tirai 2020 filem seram dari India berjudul Ghost Stories menemui penonton.

Menariknya, Ghost Stories adalah empat karya pendek yang digabungkan dalam satu filem berdurasi penuh. Semua filem pendek ini mendapat arahan empat pengarah berbeza.

Empat pengarah mempertaruhkan karya mereka dalam Ghost Stories terdiri daripada Karan Johar, Dibakar Banerjee, Zoya Akhtar dan Anurag Kashyap.

Secara ringkasnya, kisah seram dalam Ghost Stories dibuka dengan karya arahan Zoya Akhtar mengisahkan jururawat bernama Sameera menjaga warga emas yang uzur.

Karya kedua diarahkan Anurag Kashyap yang mengisahkan mengenai wanita bernama Neha terkena sumpahan dan tidak mampu melahirkan zuriat.

Karya ketiga arahan Dibakar Banerjee mengisahkan kampung yang diserang zombi.

Karya terakhir sebagai penutup filem Ghost Stories mandapat sentuhan Karan Johar mengisahkan wanita bernama Ira berkahwin dengan Dhruv terpaksa berdepan dengan misteri dalam keluarga suaminya.


Karya-karya ini segar dan lain daripada filem Hindi yang pernah kita tonton.

Tentunya, kalau sebut saja filem Hindi, akan terbayang di ruang mata pakaian berwarna-warni serta deretan lagu lengkap dengan tarian. Namun, dalam Ghost Stories, semua itu tidak ada sama sekali.

Namun, karya arahan Karan Johar saja yang sedikit sebanyak masih lagi memaparkan adat dan budaya India seperti mana sering dipertontonkan dalam filem arahannya termasuk Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Khushi Kabhie Gham dan banyak lagi.

Setiap sutradara yang menjayakan filem ini memaparkan kelainan dari sudut pengarahan masing-masing.

Jika Karan masih kekal dengan elemen drama serta kekeluargaan, Zoya pula dilihat menggunakan elemen yang lebih ‘gelap’. Anurag pula cuba lari daripada klise kisah seram dengan menjadikan sumpahan sebagai subjek utama.


Dibakar pula mencuba sesuatu yang jarang dilihat dalam filem Hindi iaitu menggunakan zombi sebagai tunjang utama elemen seramnya.

Perjalanan cerita juga berbeza-beza dan ada karya sedikit membosankan kerana terlalu meleret. Permainan warna yang terlalu artistik dalam arahan Anurag pula nampaknya sedikit menjengkelkan.

Tahap keseraman setiap karya juga berbeza dan karya yang benar-benar ada nilai untuk sebuah filem seram adalah daripada garapan Zoya.

Apa yang pasti, Ghost Stories yang dilancarkan di Netflix sejak semalam mula mencuri tumpuan ramai penonton terutama pencinta filem seram.

GHOST STORIES

• ARAHAN: Karan Johar, Dibakar Banerjee, Zoya Akhtar dan Anurag Kashyap

• PELAKON: Sobhita Dhulipala, Mrunal Thakur, Avinash Tiwary, Janhvi • Kapoor, Surekha Sikri, Raghuvir Yadav, Gulshan Devaiah, Vijay Varma dan Pavail Gulati

• GENRE: Seram

• TAYANGAN: 1 Januari 2020

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:15 AM