AZHAN tidak mahu lagi jadi mangsa penipuan selepas beberapa kali terkenal. FOTO Aziah Azmee
AZHAN tidak mahu lagi jadi mangsa penipuan selepas beberapa kali terkenal. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


SEMPENA kedatangan tahun baharu, membuat azam adalah perkara biasa yang akan dilakukan setiap orang.

Begitu juga dengan Azhan Rani, 44, yang enggan melepas peluang memperbaharui azamnya.Menurut pelakon drama Nur dan Nur 2 yang dikenali dengan watak Ustaz Syed Hamadi ini, azam baharunya sempena kedatangan 2020 ialah mahu meninggalkan segala ‘kebodohan’ diri pada masa lalu.

“Sebenarnya saya pernah beberapa kali menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab dan bijak memanfaatkan kesempatan.

“Pengalaman kehilangan belasan ribu ringgit dalam akaun bank yang dikumpul hasil penat bekerja menjadi detik hitam dalam hidup saya hingga kini. Ketika kejadian itu, saya tidak berfikir dengan teliti dan bertindak mengikut emosi yang akhirnya membawa kerugian besar. Perkara paling buruk itu cukup membuat saya sering bermuhasabah diri,” katanya.

Azhan berkata, pengalaman pahit itu menyebabkan dia turut berfikir adakah ia sebahagian kesan daripada pembawaan beberapa watak antagonis lakonannya sebelum ini.

AKUI pernah jadi mangsa penipuan pihak tertentu. FOTO Aziah Azmee
AKUI pernah jadi mangsa penipuan pihak tertentu. FOTO Aziah Azmee

Membuat tindakan perkongsian di Instagram berhubung taktik keji pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu secara dalam talian (scam), Azhan berkata, langkah diambil itu dilihatnya sebagai peringatan kepada diri sendiri dan orang ramai.

“Pihak suka menjerat orang lain dengan penipuan mereka ternyata sangat bijak. Mereka yang bergerak secara kumpulan mempunyai pelbagai modus operandi.

“Jadi, untuk diri saya dan orang ramai perlu peka dan sentiasa berhati-hati. Jangan bersikap ambil mudah dan sambil lewa pada setiap panggilan telefon diterima,” katanya.

Azhan berkata, melihat pada kelicikan kumpulan penipuan tidak bermoral itu, dia beranggapan individu seumpama ‘Ustaz Hamadi’ kini ada di mana-mana.

Katanya, paling utama jangan mudah terpedaya apatah lagi sekiranya naluri hati berasa kurang selesa. Menurut Azhan, Allah selalu membantu hamba-Nya, tetapi manusia yang selalu terleka.

“Saya sangat terhutang budi dengan sahabat baik, Beto Kusyairy dan isterinya yang banyak membantu ketika dalam kesusahan,” katanya

Azhan berkata, Beto adalah sahabat sejati dan tidak mudah menemui insan yang boleh menjadi sahabat ketika susah atau senang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 5:45 AM