HOT FM beri ‘hadiah’ buat 20 pendengar bertuah untuk mendapatkan khidmat gunting rambut percuma menerusi kempen ‘Hot Quick Cut’.
HOT FM beri ‘hadiah’ buat 20 pendengar bertuah untuk mendapatkan khidmat gunting rambut percuma menerusi kempen ‘Hot Quick Cut’.
Georgie Joseph

BAGI menghargai pendengar setianya, stesen radio Hot FM memberi 'hadiah' buat 20 pendengar bertuah untuk mendapatkan khidmat gunting rambut percuma menerusi kempen 'Hot Quick Cut' di The Mankind Barber, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, hari ini.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens dan Pemasaran, Ripple, Anida Tahrim berkata, kempen itu sebagai inisiatif khas relevan dengan sentimen yang berlaku ketika di mana ramai menanti untuk menggunting rambut selepas lebih tiga bulan tidak melakukannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Sebaik kerajaan mengumumkan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi, kami melihat situasi ini satu idea sangat relevan untuk dijadikan kandungan menarik kerana ia antara perkhidmatan yang dinanti-nantikan.

"Baru-baru ini kami terus mengumumkan kempen itu bagi mencari 20 pendengar bertuah. Untuk kempen pertama ini, kami memfokuskan kepada golongan lelaki dahulu.

"Bukan saja percuma, kami juga beri kebebasan sepenuhnya buat mereka untuk memilih gaya potongan diinginkan. Kami sangat terharu berikutan sambutannya cukup memberangsangkan," katanya.

Anida berkata, slot berkenaan terpaksa dihadkan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menghalang penularan Covid-19 seperti menjaga kebersihan, penjarakan sosial dan sebagainya.

"Bagi memastikan kawalan SOP dijaga, kami memutuskan untuk mengehadkan slot itu. Jadi, cuma dua individu saja boleh menggunakan perkhidmatan itu dalam satu masa.

"Selebihnya akan datang mengikut giliran dan mengikut masa ditetapkan buat mereka. Kami gembira kerana semuanya mematuhi SOP dengan mengenakan penutup hidung dan mulut, diambil suhu badan, menulis nama dan cecair pembasmi kuman," katanya.

Kempen 'Hot Quick Cut' dimulakan Geng Pagi Hot (GPH) di mana Shuk, Shuib dan Fizie mengajak pendengar berkongsi swafoto rambut semasa mereka menerusi WhatsApp rasmi Hot FM.

Perkongsian swafoto itu kemudian diteruskan gandingan Jam Hot, Deen dan Haziq sebelum 20 orang pendengar bertuah daripada kedua-dua segmen itu dipilih untuk diberikan khidmat percuma berkenaan.

Acara 'Hot Quick Cut' itu turut dimeriahkan penyampai Hot FM, Shuk dan personaliti digital Hot FM, Sarancak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 5:13 PM