YASMIN tidak mahu menggunakan basikal mahal tetapi ketika kayuhan gilirannya duduk paling belakang sekali. FOTO Instagram Yasmin Hani
YASMIN tidak mahu menggunakan basikal mahal tetapi ketika kayuhan gilirannya duduk paling belakang sekali. FOTO Instagram Yasmin Hani
Norhayati Nordin


"BASIKAL yang saya guna sekarang taklah begitu mahal, kurang RM10,000," kata pelakon dan pengacara, Yasmin Hani mengenai harga basikalnya.

Yasmin, 39, mula menyertai aktiviti berbasikal bersama suaminya, Sha’arin Mohd Razali sekitar hujung tahun lalu.

Aktiviti berbasikal kini menjadi sukan pilihan kebanyakan selebriti tanah air dan ada mereka yang sanggup berhabis banyak untuk basikal.

"Hobi basikal memang mahal. Malah, saya tahu ada di antara individu yang terbabit dengan aktiviti berbasikal ini sanggup berbelanja lebih.

"Apatah lagi, ada basikal yang harganya mencecah belasan dan puluhan ribu ringgit. Malah, sebenarnya seronok kalau naik basikal harga mahal.

"Namun, untuk saya sekarang biarlah fokus lebih dulu diberi untuk menguatkan kaki bagi kayuhan kerana ini paling utama," katanya.

Menurutnya, apabila kaki sudah kuat barulah setanding dengan basikal mahal dan kayuhan dilakukan.

"Saya tidak mahu menggunakan basikal mahal tetapi ketika kayuhan gilirannya duduk paling belakang sekali.

"Tak dinafikan, memang saya pun ada keinginan memiliki basikal mahal tetapi biarlah kayuhan sudah benar-benar mantap dahulu," katanya.

Yasmin berkata, suami adalah pendorong utamanya untuk membabitkan diri dalam aktiviti berbasikal yang menjadi minatnya kini.

"Suami suka mempelawa untuk turut sama menyertainya berbasikal. Pada mulanya, saya pun kurang berminat.

"Namun, di atas sokongan suami dan selepas memikirkan ada banyak kebaikannya saya pujuk hati untuk sertai juga.

"Lama-kelamaan Alhamdulillah seronok dan terasa diri saya hebat juga apabila melakukan aktiviti berbasikal," katanya.

Mengulas kemalangan basikal menimpa rakan baik mereka, Nazril Idrus pada 7 Oktober lalu, Yasmin berkata, dia ada di lokasi kejadian.

"Saya menyaksikan keadaan Nazril yang cedera ketika itu dan ia pengalaman pertama buat saya yang bertungkus-lumus memberi bantuan.

"Bermula dengan menghubungi ambulans sehingga Nazril dibawa ke hospital untuk rawatan, syukur saya melakukannya dengan baik," katanya.

Apapun katanya, kemalangan yang menimpa Nazril tidak sedikit pun membuatkan dia serik untuk mengayuh basikal lagi.

"Suami pun pernah mengalami kecederaan kerana aktiviti berbasikal ini. Bagi saya, ia antara risiko penunggang basikal," katanya.

Menurut pengacara program Hello Doktor di TV3, apa yang pasti setiap penunggang basikal perlu sentiasa berhati-hati kerana malang tidak berbau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 5:26 PM