SYA tidak sangka dapat bekerjasama dengan SonaOne dan Yung Raja.
SYA tidak sangka dapat bekerjasama dengan SonaOne dan Yung Raja.
Ridzuan Abdul Rahman


RAMAI yang menganggap penyanyi rap wanita baharu, SYA, bertuah kerana single pengenalannya berjudul PrettyGirlBop mendapat sentuhan SonaOne.

Bersyukur dengan apa yang diperolehi, SYA, 23, atau nama sebenarnya Nur Batrisya Mohd Nazri, berkata banyak perkara menarik yang terpaksa dilaluinya untuk berada pada tahap sekarang.

Dia mengakui pernah dibuli dan diperlekehkan hanya kerana tidak pandai menguasai bahasa Melayu.

"Sebenarnya saya pernah tinggal di beberapa negara seperti Bahrain dan Pakistan kerana ikut ibu bapa yang bekerja di negara itu.

"Jadi, saya lebih mahir menguasai bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Tak sangka hanya kerana itu, saya menjadi mangsa buli apabila pulang ke Malaysia dan bersekolah di sini.

"Tapi ia adalah satu cabaran kerana ketika itu saya belum dapat menyesuaikan diri dengan budaya sendiri. Lama-kelamaan ia semakin baik dan tiada masalah lagi," katanya yang pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, Sarawak.

Penyanyi berasal dari Ampang, Selangor ini memberitahu, dia begitu teruja dapat bekerjasama dengan SonaOne yang sememangnya dikenali sebagai penyanyi dan komposer hebat genre hip hop tanah air.

"Saya anggap macam mimpi kerana asalnya karya itu dicipta untuk SYA sahaja. Namun, kemudiannya saya digandingkan dengan bintang rap popular dari Singapura iaitu Yung Raja.

"Sudah tentulah idea ini mengangkat lagu dinyanyikan itu ke tahap tersendiri. Ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan saya.

"Sudah pasti saya gementar. Apapun, semua perasaan bercampur baur apabila diberi peluang berganding bersama dua nama besar hip hop Asia Tenggara ini," katanya yang mengakui sudah lama memendam hasrat untuk bekerjasama dengan mereka.

SYA yang bernaung di bawah label Def Jam SEA menjelaskan, lagu PrettyGirlBop membawa pengertian tersendiri buat golongan wanita di mana saja berada.

"Orang penting yang menyalurkan inspirasi lagu ini, tak lain tak bukan ialah ibu saya sendiri. Saya meletakkan keseluruhan emosi dan jiwa saya ketika menulis liriknya.

"Ia adalah gambaran situasi sukar yang dilalui oleh wanita yang berdikari demi kelangsungan hidup ketika pandemik Covid-19 sekarang.

"Banyak unsur sindiran dan sarkastik yang saya tampilkan dalam liriknya. Ia dapat saya karang secara spontan" katanya.

Karya PrettyGirlBop adalah lagu dedikasi untuk memperkasakan semangat kaum hawa ketika pandemik, termasuk golongan ibu sebagai sumber inspirasi.

Minat SYA terhadap muzik amat mendalam dan kebanyakan masanya diisi dengan menzahirkan bait-bait puisi pada melodi menerusi ilham penulisannya.

"Saya menyukai pelbagai jenis muzik sama ada pop, R&B, hip hop atau 'soul'.

"Manakala dari sudut persembahan pula, saya suka pada legenda rap seperti Jay Z, Tupac Shakur dan Kendrick Lamar,

" katanya.

Lagu PrettyGirlBop kini berada di pasaran digital menerusi Apple Music, Spotify, Deezer, Joox, KKBOX, iTunes dan video muziknya juga sudah mencecah 100,000 tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:30 AM