NAD Zainal - Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
NAD Zainal - Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali
Oleh Syafil Syazwan Jefri


BERLAKON adalah tugas dan tanggungjawab yang tidak semudah disangka. Untuk menyentuh hati penonton, pelakon tidak sekadar menjiwai watak, tetapi juga dari segi penampilan.

Menerusi penampilan, ada ‘roh’ watak yang menyerap masuk dalam tubuh mereka saat menjayakan sesuatu watak terutama jika watak yang dibawakan itu adalah tokoh yang ikonik.

Berikut adalah antara 10 selebriti tempatan dan luar negara yang berjaya memberikan penampilan hampir mirip dengan watak ikonik yang mereka bawakan.

Nad Zainal - Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali

Sebut saja nama Tun Dr Siti Hasmah, tentunya seluruh negara cukup kenal dengan sosok isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed itu.

Menariknya, Nad Zainal bakal muncul sebagai tokoh ikonik itu dalam filem biopik berjudul Hasmah dan kini mula menjadi bualan kerana dikatakan benar-benar mirip dengan penampilan sebenar Siti Hasmah ketika zaman mudanya.

Namun, ramai yang masih tertanya-tanya mengenai siapa pengarahnya kerana ada yang mengatakan bahawa filem yang masih menjadi rahsia ini diarahkan pengarah hebat dari Indonesia.

Mohd Kamarulzaman@Che Kem - Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

Satu lagi watak tokoh ikonik yang berjaya dibawakan dengan baik ialah Tunku Abdul Rahman lakonan Mohd Kamarulzaman atau Che Kem dalam filem 1957: Hati Malaya.

Lakonan Kamarulzaman dalam filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu nampaknya benar-benar kelihatan seperti keperibadian Perdana Menteri pertama itu.

KAMARULZAMAN sebagai Tunku Abdul Rahman
KAMARULZAMAN sebagai Tunku Abdul Rahman

Esma Daniel - Tun Dr Mahathir Mohamed

Pementasan teater muzikal Tun Mahathir pada 2010 juga pernah menjadi bualan ramai apabila pelakon, Esma Daniel berjaya membawakan watak Tun Mahathir dengan sangat baik. Tak sekadar menjiwai watak, Esma juga tampil mirip dengan Perdana Menteri itu, sekali gus membuatkan ramai penonton kagum.

Menempa kejayaan, teater muzikal itu dipentaskan semula pada 2011 atas permintaan ramai di Panggung Sari, Istana Budaya.

Azhan Rani - AR Tompel

Bagi yang pernah menonton telefilem biopik, Saloma, tentunya watak Allahyarham AR Tompel yang dibawakan pelakon versatil Azhan Rani tidak akan dilupakan.

Membawa watak sebagai pelakon legenda bukan tugas mudah, namun Azhan membuktikan bahawa usahanya berhasil dan menerima pujian penonton.

Dari segi pergerakan, cara percakapan, bahkan suaranya juga kedengaran begitu mirip dengan ikon filem Melayu yang sezaman dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu.

AZHAN Rani sebagai AR Tompel
AZHAN Rani sebagai AR Tompel

Ben Kingsley - Mahatma Gandhi

Filem Gandhi yang pernah diterbitkan pada 1982 mengisahkan mengenai kehidupan tokoh sejarah, Mahatma Gandhi dan watak itu berjaya dilakonkan dengan baik oleh Ben Kingsley.

Kemampuan Kingsley dalam menjayakan watak ikonik itu tidak dapat disangkal lagi memandangkan dia adalah pemenang Academy Awards, Grammy, BAFTA, Golden Globe dan banyak lagi.

Kerana watak itu juga Kingsley membawa pulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Academy Awards.

Cate Blanchett - Bob Dylan

Filem berjudul I’m Not There pada 2007 mengisahkan mengenai kehidupan penyanyi legenda Bob Dylan.

Menariknya, untuk menjayakan watak Dylan, tidak hanya satu, tetapi dijayakan enam pelakon berbeza dan seorang daripadanya adalah, Cate Blanchett.

Blanchett dipuji kerana lakonannya yang benar-benar menjadi, sekali gus melayakkan dia membawa pulang anugerah Volpi Cup for Best Actress di Festival Filem Venice, Pelakon Pembantu Terbaik di Golden Globe dan tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Academy Awards.

Sir Daniel Day Lewis - Abraham Lincoln

Walaupun sudah bersara, nama Daniel Day-Lewis akan sentiasa melekat di dalam ingatan peminat filem dunia kerana lakonannya yang sangat memberi kesan kepada penonton.

Salah satu watak ikonik yang pernah dilakonkannya adalah sebagai bekas Presiden Amerika Syarikat yang popular, Abraham Lincoln dalam filem Lincoln.

Bagi menjayakan watak itu, dia menghabiskan masa setahun untuk membuat persediaan dengan membaca lebih 100 buku berkaitan bekas presiden Amerika Syarikat itu dan bekerjasama dengan jurusolek kesan khas untuk tampil sebagai Lincoln.

Jennifer Lopez - Selena

Penyanyi dan pelakon, Jennifer Lopez juga pernah membintangi filem biopik muzikal berjudul Selena.

Dalam filem itu, dia membawakan karakter sebagai ikon muzik, Selena Quintanilla-Perez yang cukup dikenali dalam komuniti Latin di Amerika Syarikat dan Mexico.

Filem Selena menerima kritikan positif daripada penonton dan pengkritik filem dunia, sekali gus membuatkannya tercalon dalam satu kategori di acara Golden Globe dan memenangi anugerah di Anugerah ALMA.

Rami Malek - Freddie Mercury

Membawa watak sebagai penyanyi legenda dari kumpulan Queen, Freddie Mercury bukan satu tugas mudah buat Rami Malek. Namun kerana komitmennya terhadap bidang lakonan, dia berjaya membawa watak itu dengan jayanya.

Tidak hanya bekerja keras dalam menjiwai watak penyanyi itu, Rami juga mengubah bentuk badannya untuk kelihatan seperti Mercury bertenaga saat berada di pentas.

Satu lagi cabaran hebat buatnya adalah untuk memastikan penampilannya adalah sebagai penyanyi yang lincah saat berada di pentas seperti yang dipersembahkan Mercury.

Taron Egerton - Sir Elton John

Nama Taron Egerton sebelum ini cukup dikenali menerusi watak sebagai remaja yang kemudian berubah menjadi ejen penyiasat muda dalam filem Kingsman.

Namun, siapa sangka dia berjaya membawakan watak sebagai ikon muzik dunia, Sir Elton John dengan sangat baik dalam filem Rocketman.

Berbeza secara keseluruhan berbanding lakonannya dalam filem Kingsman kerana sebagai Elton, dia mengenakan pelbagai busana berona terang di samping perlu tampil sebagai bintang muzik di pentas gah.

Penampilan, pergerakan bahkan cara nyanyiannya dalam filem itu juga benar-benar mirip seperti Elton John.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:20 AM