AZHAR(kanan) pada sidang media dan pelancaran filem tersebut di Shareton PJ. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman.
AZHAR(kanan) pada sidang media dan pelancaran filem tersebut di Shareton PJ. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman.
Ramlah Zainal


“SAYA menggigil apabila ditawarkan untuk melakonkan watak tokoh hebat seperti Tun Dr Mahathir. Saya sendiri tidak sangka terpilih sedangkan ramai pelakon hebat dan terkenal datang proses uji bakat ketika itu,” kata pelakon Azhar Amir, 47, ketika ditanya pemilihannya melakonkan watak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam filem Mahathir : The Journey.

Azhar berkata, dia juga sedar pemilihannya untuk melakonkan watak Dr Mahathir dipersoalkan ramai pihak termasuk warganet ketika ini kerana dia bukanlah pelakon dikenali ramai.

“Saya berani terima tawaran itu kerana mahu menyahut cabaran besar melakonkan watak pemimpin tertua dunia berusia 94 tahun itu.

“Mungkin usia saya masih muda tetapi sebagai pelakon saya akan berusaha memberikan yang terbaik kerana ia julung kali diberi kepercayaan watak utama di layar perak,” katanya.

Ditanya mengenai persediaannya, Azhar berkata, dia merancang untuk bertemu dengan Dr Mahathir secara peribadi dan memohon restu daripadanya untuk melakonkan watak itu.

"Saya mahu bertemu dan bersalaman dengannya. Saya sedar tidak boleh minta banyak masa daripada seseorang yang begitu hebat sepertinya. Restu itu penting kerana saya akan melakonkan watak tokoh hebat yang masih hidup dan memimpin negara ketika ini,” katanya.

Sementara itu, pengarah filem itu, Dr Hatta berkata, pemilihan Azhar diputuskan penerbit selepas sesi uji bakat dijalankan.

“Azhar berjaya menjiwai dialog penting Dr Mahathir dengan baik dalam waktu singkat dan meyakinkan semua pihak ketika uji bakat. Walaupun usianya muda, wajahnya boleh diubah menjadi tua dan nampak matang dari segi usia,” katanya.

Azhar mula terbabit dalam bidang lakonan sejak 2014 dan banyak melakonkan watak bapa dalam beberapa drama bersiri.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah watak kecil dalam filem Pulang, filem Indonesia My Stupid Bos dan filem Hong Kong, Operation Mekong.

PELAKON  utama yang memegang watak Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam filem Mahathir The Journey, Azhar Amir dan Fauziah Latiff.
PELAKON utama yang memegang watak Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam filem Mahathir The Journey, Azhar Amir dan Fauziah Latiff.

Filem Mahathir : The Journey arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan diterbitkan Reliance Media Group.

Filem ini memaparkan perjalanan hidup Dr Mahathir selama 16 tahun bermula persaraannya selepas berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri hingga kembali memimpin negara sekali lagi pada 2018.

Selain Azhar, turut berlakon ialah Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah) dan ramai lagi.

Filem ini bakal memulakan penggambaran bulan depan dan dijangka ditayangkan pada Julai tahun depan sempena ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:01 PM