DR Raja Laila Rani (tengah) bersama sebahagian selebriti yang terbabit.
DR Raja Laila Rani (tengah) bersama sebahagian selebriti yang terbabit.
Ramlah Zainal


BUKAN mudah untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air yang memang ada pasang dan surutnya. Apatah lagi dengan kemunculan ramai bakat baharu yang bersaing sekali gus mewarnai bidang seni setiap hari.

Tidak hairanlah semakin ramai golongan selebriti mula berjinak-jinak menceburi perniagaan untuk menjana pendapatan sampingan.

Sehubungan itu, Pameran dan Persidangan Muslim World Biz kesembilan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 4 hingga 6 September ini menyaksikan 12 selebriti terkenal tidak melepaskan peluang menyertainya bagi mempromosikan produk mereka.

Pameran dan Persidangan Muslim World Biz memberi ruang dan peluang kepada mereka menembusi pasaran di negara Timur Tengah.

Mereka yang terbabit ialah Nabil Ahmad, Datuk Fizz Fairuz dan isteri, Datin Almy Nadia, Yatt Hamzah, Iesya Toh, Linda Rafar, Azzarima, Diana Rafar, Memey Suhaiza dan suami, Norman Hakim, Ezlynn serta Abby Abadi.

Fizz yang juga pelakon bersyukur kerana ditawarkan penganjur OIC International Business Centre untuk menyertai program itu.

“Saya berharap ia dapat menjadi ruang untuk selebriti tempatan memasarkan produk ke negara Timur Tengah nanti,” katanya yang mengusahakan produk makanan, pakaian dan kecantikan.

Pelakon dan pengacara popular, Nabil juga tidak mahu melepaskan peluang menjayakan pameran itu.

Nabil berkata, selebriti digalakkan menceburi perniagaan untuk jaminan masa depan.

“Pengusaha produk juga menggunakan selebriti sebagai jurucakap produk mereka. Oleh itu, tiada salahnya selebriti menggunakan kelebihan dan nama mereka untuk mengeluarkan produk sendiri,” katanya.

Bagi pengacara, Iesya Toh, ia platform yang baik untuk selebriti menembusi pasaran luar negara memandangkan negara Islam sedunia menyertainya.

“Saya berharap program seumpama ini dapat membuka minda usahawan tempatan terutama selebriti untuk menjana produk ke peringkat global. Kita perlu seiring dengan perkembangan dunia perniagaan yang luas jika diterokai,” katanya yang menjual produk kesihatan dan minuman tambahan wanita.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Muslim World Biz, Dr Raja Laila Rani Raja Mohamad Abdullah berkata, dia membuka peluang kepada selebriti untuk mencari rakan kongsi dalam dunia perniagaan sempena pameran terbabit.

“Selebriti bukan saja memperkenalkan dan mempromosikan produk, malah perlu bijak menarik perhatian ribuan delegasi yang hadir untuk bekerjasama.

“Kami sudah menyediakan platform dan mereka tidak perlu mengeluarkan wang untuk ke sana, hanya perlu pandai mencari peluang.

“Bagaimanapun, kami pilih produk yang sesuai untuk pasaran luar negara. Ini bukannya karnival jualan, tetapi lebih kepada membuka ruang mencari rakan kongsi dan rangkaian perniagaan,” katanya.

Pameran dan Persidangan Muslim World Biz kesembilan yang bertemakan Menerajui Pertumbuhan Ekonomi Mampan bakal disertai 300 syarikat gergasi dalam dan luar negara membabitkan 500 gerai jualan.

Pada acara itu, dijangka lebih 20,000 pengunjung termasuk pelawat perdagangan, delegasi dan orang awam daripada 57 negara ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) selama tiga hari.

Ia termasuk delegasi dari Jordan, Kuwait, Pakistan, Turki, Qatar, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 5:10 AM