KIAN aktif hasil lagu rakyat Sabah sebagai tanda terima kasih sokongan peminat
KIAN aktif hasil lagu rakyat Sabah sebagai tanda terima kasih sokongan peminat
Georgie Joseph

Bergelar selebriti bukan sekadar menempa kemasyhuran. Jenama dan pengaruh dibina banyak kepentingannya untuk mendidik ataupun memartabatkan hal yang sangat dekat dengan hati seorang selebriti.

Itulah misi pelakon, penyanyi dan pengacara Marsha Milan Londoh, 35, dalam memperkukuhkan lagi namanya.

Berketurunan Dusun, artis serba boleh ini kian rancak memperkenalkan budaya asalnya ke mata peminat hiburan tanah air.

Marsha yang berasal dari Tamparuli, Sabah berkata, dia sentiasa menanam dalam hatinya untuk berbakti semula dengan masyarakat di kampung halamannya.

Jadi, dia melihat platform muzik adalah antara medium yang penting merealisasikan misi itu.

Cukup popular dalam lapangan arus perdana, kebelakangan ini Marsha giat menghasilkan karya lagu rakyat Sabah.

Malah, lagu Sumandak Sabah dendangannya bersama Velvet Aduk terus mekar jadi siulan bukan setakat rakyat Sabah tetapi seluruh negara.

Kebetulan, bulan ini adalah bulan keraian sempena pesta menuai atau Kaamatan.

Menurutnya, dia ingin menjadikan sambutan itu sebagai tradisi wajib menghasilkan lagu berunsur kerakyatan.

"Sewaktu saya baharu bermula dalam industri hiburan, saya terlalu mengejar karya yang sesuai untuk pendengar arus perdana. Saya tidak fokus pun dalam hasilkan aktiviti atau lagu kerakyatan.

"Namun, semakin saya maju dalam industri ini, saya sedar kawan-kawan, peminat, serta rakyat Sabah yang banyak membantu kejayaan saya. Misi ini bukan sekadar berbakti semula kepada komuniti dan memartabatkan budaya, sebaliknya inisiatif peribadi saya untuk ucap terima kasih buat mereka.

"Inti penting saya giat lakukan ini sekarang adalah untuk mempromosikan budaya Sabah. Saya mahu semua orang tahu keunikan di Sabah, bukan saja budayanya tapi juga bahasa," katanya.

Terbaharu, Marsha juga melancarkan lagu duet bersama penyanyi Sabah, Fanzi Ruji berjudul Ika Noh (Hanya Kamu).

LAGU duet Marsha bersama Fanzi Ruji, Ika Noh dapat perhatian Michael Ang untuk dijadikan lagu temandrama.
LAGU duet Marsha bersama Fanzi Ruji, Ika Noh dapat perhatian Michael Ang untuk dijadikan lagu temandrama.

Sambutannya begitu memberangsangkan sehingga mendapat perhatian pengarah dan penerbit Michael Ang untuk dijadikan lagu tema sebuah drama.

Baginya, pencapaian itu sesuatu yang cukup bermakna buatnya apatah lagi misi itu semakin jelas hasilnya. Justeru itu, dia berbangga dapat mengangkat lagu bahasa Dusun ke arena arus perdana pula.

"Insya-Allah, lagu itu akan digunakan untuk drama arahan Michael yang berjudul Love Elsa. Menariknya, drama itu akan ditayangkan selepas Rindu Awak Separuh Nyawa lakonan saya tamat.

"Jadi, adalah kesinambungan untuk jenama saya di situ. Sekali gus, ia membantu lagi untuk menyemarakkan nama saya terus jadi ikutan di mata peminat," katanya.

Dalam pada itu, Marsha memutuskan untuk tangguhkan hasrat pulang meraikan Kaamatan tahun ini untuk kali kedua berturut-turut.

Kekangan pandemik Covid-19 ternyata membantutkan hasratnya walaupun sudah membeli tiket kapal terbang.

Tidak menafikan rindunya terhadap kedua-dua ibu bapa di kampung semakin mendalam, dia memilih untuk padamkan hasrat itu demi keselamatan semua.

"Pada waktu sekarang di mana kes Covid-19 semakin meningkat, kita kena tingkatkan usaha menjaga keselamatan semua termasuklah keluarga sendiri. Saya tidak mahu membahayakan mereka dan paksa diri untuk pulang.

"Orang tua saya adalah golongan yang mudah dijangkiti. Kalau ikutkan, saya boleh saja balik untuk urusan kerja tapi ini adalah bahagian penting saya dalam usaha mematuhi arahan ditetapkan kerajaan demi elakkan penyebaran virus ini," katanya.

MARSHA terharu lakonannya meninggalkan impak dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa.
MARSHA terharu lakonannya meninggalkan impak dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa.

Terharu watak Nurul Huda berkesan dan dipuji ramai

Marsha kembali menarik perhatian dan diperbualkan pencinta drama tempatan menerusi lakonan wataknya sebagai Nurul Huda dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa.

Tampil dengan watak antagonis sebagai wanita bertudung yang perwatakannya menjengkelkan, pelbagai reaksi diterimanya.

Gara-gara keberkesanan wataknya, Marsha menjadi mangsa makian, ugutan sehingga ada yang mahu menamparnya.

Bagi Marsha, hal itu membuktikan bahawa lakonannya berjaya menyentuh hati ramai sekali gus dia puas dengan pencapaian itu. Sebagai pelakon, kepuasan begitulah yang membuatkan kerja keras sebagai anak seni lebih berbaloi.

"Secara peribadi, saya sebenarnya cukup terharu dengan maklum balas penonton terhadap watak saya sebagai Nurul Huda. Pada masa sama, agak menakutkan juga melihat realiti bagaimana mesej yang saya dapat di ruang mesej peribadi di Instagram.

"Bukan saja ramai yang ucap tahniah dan kata positif, tapi ramai juga memaki dengan kasar. Hakikatnya, ratusan mesej yang saya dapat kebanyakannya berbaur menakutkan," katanya.

Namun, reaksi kurang menyenangkan itu bukan pematah semangatnya untuk dia takut memegang watak antagonis selepas ini. Sebaliknya, Marsha berharap watak itu tidak akan membayangi kerjaya lakonannya selepas ini.

"Saya cuma harap tidak akan dilabel selamanya dengan watak sebegitu saja di mata penonton pada masa akan datang. Bukan bermaksud saya takut untuk mencuba lagi watak antagonis.

"Saya risau tidak boleh 'move on' daripada watak itu. Begitu juga dengan peminat yang mungkin tidak akan suka diri saya sebagai Marsha hanya kerana melakonkan Nurul Huda itu," katanya.

Selain Marsha, drama Rindu Awak Separuh Nyawa arahan Jamal Khan dan Along Kamaludin itu juga dibintangi Shukri Yahaya, Uqasha Senrose, Fizo Omar, Norreen Iman, Fiza Thomas, Fauzi Nawawi dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:00 AM