Amar mahu sentiasa relevan dalam bidang seni. FOTO HM Digital
Amar mahu sentiasa relevan dalam bidang seni. FOTO HM Digital
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Amar Asyraf, 33, berkata, dia memegang prinsip tidak mahu tua sebelum usia dan ia merangkumi wataknya dalam lakonan.

Amar membintangi filem Blok 404 menjelaskan, dia enggan menerima watak-watak yang menampakkan dirinya kelihatan tua kerana mahukan dirinya sentiasa nampak relevan dalam bidang seni.

“Saya juga tak terlalu terdesak untuk terima tawaran berlakon sehingga sanggup ambil watak yang bukan-bukan

“Bukanlah saya menolak tawaran berlakon kerana saya tak kisah sekiranya diberikan watak sebagai abang kepada sesuatu watak lain, tapi saya cuma menolak jika disuruh bawa watak lelaki berumur dan tersasar dari usia sebenar,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam perkembangan lain, Amar mengakui kecewa tidak menerima bayaran sebagai duta produk bersama sebuah syarikat dan akan berhati-hati menerima tawaran selepas ini.

“Ia dah tiada dan saya enggan ambil kisah perkara ini. Ia berlaku disebabkan masalah antara pengeluar produk dengan pihak berkuasa sehingga menjejaskan jualan produk.

“Saya berfikiran positif anggap ini bukan rezeki saya. Bagaimanapun saya nak menasihatkan sesiapa yang nak jadi duta produk selepas ini perlu berhati-hati.

“Kita kena baca betul-betul kontrak diberikan. Lebih lagi artis muda yang akan ghairah apabila dilamar jadi duta produk. Saya akui silap sendiri kerana tak baca kontrak sebenar,” katanya.

Amar mengakui tidak kecewa kerana dia bukan jenis terlalu mengejar kekayaan dan wang ringgit apabila memilih bergelar anak seni.

“Saya lebih pentingkan kekayaan ilmu, dikelilingi kawan-kawan dan pelajar-pelajar teater saya yang sering mendoakan kebaikan buat keluarga saya.

“Saya kini selesa bergelar aktivis teater dan mengajar teater di Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 7:24 PM