AMAR selalu bincang dengan Amyra sebelum memulakan penggambaran supaya tidak timbul sebarang isu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
AMAR selalu bincang dengan Amyra sebelum memulakan penggambaran supaya tidak timbul sebarang isu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular, Amar Baharin tabik dengan isterinya yang juga pelakon, Amyra Rosli kerana berjaya melakonkan watak Dhia yang penuh emosi dalam drama Cemburu Seorang Perempuan.

Amar, 34, berkata, biarpun ketika penggambaran Amyra sedang hamil lima bulan, isterinya itu tetap memberikan sepenuh komitmen hingga watak itu menjadi bualan ramai.

"Saya berasakan watak Dhiya berat dan banyak bermain dengan emosi. Pernah dalam satu babak dia perlu menjerit sambil beremosi dan menangis. Secara tiba-tiba, dia maklumkan 'baby' dalam kandungan tak bergerak.

"Situasi itu membuatkan semua orang di lokasi menjadi cemas. Pengarah meminta isteri berehat dan selepas kembali okey, barulah penggambaran diteruskan.

"Bukan apa, ketika penggambaran dijalankan, usia kandungan Amyra lima bulan. Selain kena menjaga lakonan, dia juga perlu berhati-hati. Dalam masa sama, menjadi tanggungjawab saya bagi memastikan dia dan kandungan dalam keadaan baik," katanya kepada Harian Metro.

Amar berkata, sebagai suami sebenar Amyra dan menjadi suami Emilia lakonan Emma Maembong, dia perlu sentiasa menjaga hati isterinya.

"Saya kena menjaga perasaan isteri. Dari segi pergaulan dan lakonan di lokasi, saya tak boleh lebih-lebih. Tapi, sebelum memulakan penggambaran kami selalu bincang supaya tidak timbul sebarang isu.

"Alhamdulillah, kami berjaya habiskan penggambaran dalam tempoh dua bulan. Terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan kepada kami," katanya yang melakonkan watak Zikri.

Berkongsi mengenai kandungan Amyra, Amar berkata, dia belum mengetahui jantina anak kedua yang dijangka lahir pada awal Februari tahun hadapan.

"Sekarang usia kandungan isteri sudah masuk 30 minggu. Mengikut tarikh jangkaan doktor, dia dijangka bersalin awal Februari.

"Jantina anak, isteri rahsiakan daripada saya. Dia nak beri kejutan pada majlis 'baby shower' nanti. Tapi bagi saya, tak kisah anak lelaki atau perempuan. Asal saja sihat dan cukup sifat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 7:05 PM