PELAWAK yang bakal beraksi dalam LKD 2016
PELAWAK yang bakal beraksi dalam LKD 2016
Michelle Gun


Penerbit Lawak Ke Der 2016 (LKD 2016) Datuk Hans Isaac akan memastikan komedi yang dipersembahkan barisan pelawak tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Bagi mengelak masalah itu timbul, Hans akan memantau persembahan pelawak apabila ia dipentaskan pada 5 hingga 8 Mei ini di Istana Budaya.

“Saya sudah ingatkan pelawak supaya tidak menyentuh isu atau perkara yang boleh menimbulkan kemarahan penonton.

“Malah, saya sendiri akan turun ke lokasi untuk memantau persembahan pelawak,” katanya pada sidang media LKD 2016 baru-baru ini.

Hans berkata, penganjuran tahun kelima itu akan mengetengahkan komedi segar dan berkualiti yang belum dipaparkan di televisyen.

“Bagi memastikan kandungan lawak mengeletek hati penonton, saya melakukan penyelidikan dan bertanyakan pendapat orang sekeliling.

“Begitu juga ketika mencari pelawak. Saya sangat memilih kerana mahu pelawak berkualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Hans yang juga pengarah dan pelakon berpendapat harga tiket serendah RM48 hingga RM188 berbaloi kerana LKD 2016 menampilkan barisan pelawak terkenal.

“Tempoh melanjutkan siaran LKD boleh dipertimbangkan kalau kami menerima maklum balas bagus daripada orang ramai,” katanya.

Barisan pelawak yang bakal beraksi dalam LKD 2016 ialah Harith Iskander, Afdlin Shauki, Douglas Lim, Nabil Ahmad, Bocey, Jihan Muse, Sherry Al Hadad, Rayza Mukmin dan Shuk Balas.

Lebih menarik kali ini Sherry dan Nabil turut tampil selaku pengacara.

Mengakui bimbang penonton membandingkan dirinya dengan Nabil, Sherry berkata jenaka yang bakal diketengahkanya pada persembahan itu nanti berbeza dengan Nabil kerana mereka berlainan jantina.

“Andai kami digandingkan dalam satu sesi yang sama pasti suasana lebih hangat.

“Apa-apa pun, saya akan memastikan persembahan nanti menghiburkan penonton,” katanya.

Shuk mahu penonton ketawa

Sementara itu, Shuk akan berkolaborasi dengan Jihan menerusi segmen parodi selama 20 minit pada 8 Mei ini.

“Kami belum berbincang jalan cerita tetapi kemungkinan besar ia berkenaan isu hangat,” katanya.

Pelawak itu mengakui bukan mudah menghasilkan komedi yang boleh buat penonton ketawa terbahak-bahak.

“Sebelum ini saya pernah kecewa apabila penonton tidak gelak.

“Oleh itu, saya perlu buat banyak buat ulang kaji agar pengisian jenaka yang bakal disampaikan nanti menghiburkan hati penonton,” katanya.

Tiket menyaksikan LKD 2016 boleh didapati menerusi laman sesawang airasiaredtix.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:56 AM