WANY Hasrita sanggup membantu insan terjebak gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). FOTO Arkib NSTP
WANY Hasrita sanggup membantu insan terjebak gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


TINDAKAN penyanyi Wany Hasrita memberikan tanda suka kepada satu tweet seorang pengguna Twitter berkaitan isu perkahwinan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berlaku kerana ingin menutup orientasi seks sendiri mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Wany berkata, dia tidak menyokong atau membantah, sebaliknya komen yang diberikan dalam status itu ada betulnya.

"Saya tidak membenci atau menyokong. Cuma tidak dinafikan, situasi seperti yang digambarkan menerusi status terbabit ada betulnya dan mungkin pernah berlaku.

"Namun pada pandangan saya, tidak kira apa sekalipun, perkahwinan adalah satu tanggungjawab dan tidak boleh dipandang remeh oleh setiap pasangan.

"Setiap pasangan perlu menjaga keharmonian rumah tangga dan jangan sesekali menganiaya pasangan. Mesej yang saya cuba sampaikan hanya itu sahaja," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Diversity In Raya Fashion bersama Starvilion dan Isetan Kuala Lumpur yang bermula sejak 5 April hingga 2 Jun depan di Isetan KLCC.

Ditanya adakah dia boleh menerima pasangan daripada golongan sedemikian, Wany memberitahu setiap individu mempunyai kisah silam.

"Saya bukanlah insan yang sempurna. Tambahan pula setiap orang mempunyai sisi silam yang berbeza.

"Jadi, jika dia mahu berubah menjadi yang lebih baik, saya sanggup membantu. Namun penghijrahan itu perlulah dengan niat yang betul dan ikhlas," katanya.

Dalam pada itu, Wany tampil dengan koleksi raya bersama Stavilion untuk tahun kedua.

"Jika tahun lalu rekaan Rindu by Wany Hasrita lebih kepada moden, jadi tahun ini kami cuba terapkan elemen yang lebih santai dan sesuai dipakai di mana sahaja.

"Malah koleksi tahun ini juga mempunyai lebih 10 rekaan yang berbeza mengikut kesesuaian setiap individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:55 PM