AARON minta rakan artis supaya sentiasa waspada dan jangan melayan nombor tidak dikenali. FOTO Syarafiq Abd Samad
AARON minta rakan artis supaya sentiasa waspada dan jangan melayan nombor tidak dikenali. FOTO Syarafiq Abd Samad
Norhayati Nordin


“PADA sesiapa yang mengenali saya, pasti tahu saya takkan menghubungi anda tanpa sebarang sebab,” kata pelakon Datuk Aaron Aziz.

Ia diluahkan Aaron dalam video ringkas dimuat naiknya di Instagram (IG) sebagai peringatan kepada rakan artis supaya berwaspada terhadap ‘scammer’ di media sosial.

Penjelasan itu dibuat pelakon drama Adam & Hawa itu berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai dirinya.

“Assalamualaikum, saya nak beritahu pada semua rakan artis supaya berhati-hati kerana ada orang yang ‘scammer’ nak jadi diri saya.

“Tolong berwaspada dengan nombor telefon yang berakhir 5627. Dia (scammer) sekarang dah hubungi tiga artis melalui media sosial ataupun WhatsApp, tak tahu dan menyamar sebagai saya,” katanya.

Menurutnya, sekarang ini ‘scammer’ ada bermacam cara untuk menipu antaranya bertindak kerana suka-suka dan ada juga yang mahu mempergunakan orang ramai.

“Kepada budak ini (penyamar itu), buatlah kerja lain yang lebih berfaedah. Jadilah diri awak sendiri dan tak perlu jadi orang lain.

“Kalau nak jadi orang lain, jadilah pelakon. Malah, dalam kubur nanti pun awak nak kena jawab sendiri. Bukan orang lain yang nak menjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Aaron meminta kepada semua rakan artis supaya sentiasa waspada dan jangan melayan nombor yang berkenaan.

Katanya, dia tidak akan sesekali menghantar mesej langsung (DM) kepada orang lain tanpa sebab.

Pada kapsyen video dimuat naik Aaron, aktor kelahiran Singapura itu menulis, dunia media sosial memang bahaya. Pandai guna pandai berwaspada. #hentikanscamming.

Sebelum ini, Aaron terpalit isu diperdaya dengan berkongsi maklumat palsu mengenai kanak-kanak penghidap kanser yang memerlukan bantuan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 6:13 PM