Fitri tidak pernah merasakan dirinya seorang artis. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Fitri tidak pernah merasakan dirinya seorang artis. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Georgie Joseph


PENYANYI, Fitri Haris mengakui dia tidak pernah merasa dirinya seorang artis dan disebabkan itulah lebih selesa meletakkan akaun lnstagram miliknya dalam mode privasi.

Fitri, 34, juga mengambil pendekatan itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan akaunnya selain tidak mahu dibanjiri mesej berbaur perniagaan daripada pengikutnya.

“Memang saya letak mode privasi untuk Instagram saya sejak dulu. Bukan mahu ‘poyo’ atau apa tetapi saya tidak pernah rasa diri ini seorang artis dan tiada kepentingan untuk kongsikannya kepada awam.

“Saya lebih suka bebas dan bila berjumpa orang boleh sembang sebagai orang biasa. Orang lain mungkin tidak sanggup disebabkan mahu pengikut ramai tapi tidak buat saya.

“Lagipun senang buat saya untuk menapis akaun palsu, akaun perniagaan, ‘scammer’ dan pencuri akaun. Instagram sangat penting buat saya biarlah pengikut tidak ramai sekalipun,” katanya.

Fitri juga menafikan dia tidak langsung mahu membuka rezeki buat peniaga mempromosikan produk tetapi mereka perlu beradab.

“Saya faham orang mencari rezeki namun jika tidak beradab memang saya akan terus padam mesej dan ‘block’ mereka. Nampak kasar tapi saya memang tak suka dan itulah realitinya.

“Tapi bukanlah saya tak beri peluang langsung untuk mereka berniaga. Kadang-kadang saya memang akan buka slot iklan terutamanya pada Jumaat dan mungkin ketika itu saya akan buka akses kepada awam,” katanya.

Setakat ini akaun Instagram Fitri mempunyai lebih 103,000 pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 3:16 PM