GAMBAR Instagram Ezzu Islam mengenai kemalangan penyanyi dan pelakon itu di Lebuhraya Shah Alam. FOTO IG Stories Izzue
GAMBAR Instagram Ezzu Islam mengenai kemalangan penyanyi dan pelakon itu di Lebuhraya Shah Alam. FOTO IG Stories Izzue
Sudirman Mohd Tahir


“SAYA kasihan pada pemandu itu sebab keretanya rosak teruk. Kenderaan saya sikit saja,” kata penyanyi dan pelakon Izzue Islam apabila kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dipandu isteri, Awin Nurin dilanggar kereta Nissan di Lebuhraya Shah Alam, 11.20 pagi hari ini.

Izzue berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya bagi membuat persembahan secara langsung di program Wanita Hari Ini.

Bagaimanapun, Izzue bersyukur apabila keadaan dirinya bersama isteri dan pemandu itu dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya terkejut dan panik sekejap ketika kejadian itu. Sebab, isteri tidak brek mengejut pun, tetapi secara tiba-tiba ada kereta yang langgar.

“Apabila turun dari kereta, saya tengok kereta itu kemek teruk. Saya bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku padanya.

“Tetapi, apabila turun, saya tengok dia okay dan dia pun cakap tidak ada apa-apa. Saya terus lega,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

EZZU bersama isterinya yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Shah Alam. FOTO IG Stories Izzue
EZZU bersama isterinya yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Shah Alam. FOTO IG Stories Izzue

Izzue berkata, dia tidak meminta ganti rugi atas kerosakan berlaku.

“Biarpun bahagian belakang kenderaan saya ada kemek sikit, tapi tidak mengapa. Saya tidak minta ganti rugi pun.

“Lagi pula, dia mengaku salah dan sudah minta maaf, selain keadaan keretanya yang teruk. Saya hanya suruh dia pergi buat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, dia baru saja membuat laporan polis di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya selepas selesai menjalani penggambaran.

“Memandangkan saya berkejar mahu ke TV3 dan kemudian ada penggambaran drama, jadi saya buat laporan polis lambat sikit.

“Apa pun, semuanya sudah okay. Cuma, saya mahu berpesan kepada semua supaya lebih berhati-hati di jalan raya. Sentiasa peka dengan pemanduan anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 11:56 PM