Pelakon, Izzue Islam ketika sidang media Festival Filem Malaysia ke-32(FFM32) di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon, Izzue Islam ketika sidang media Festival Filem Malaysia ke-32(FFM32) di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kebelakangan ini, Izzue Islam, 32, agak rancak menyambar pelbagai tawaran tanpa henti. Selepas menyanyi dan berlakon, kelibatnya juga kerap dilihat menjadi pengacara.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan mengakui, dia memang risau andai tidak selamanya bertahan sebagai artis, namun kini selagi masih laku, dia ingin mengumpul aset serta kukuhkan kewangan sehabis baik.

"Saya sedar diri, dalam bidang hiburan, masa kita tak lama. Kalau berjaya lepas tempoh 10 tahun dan masih bertahan, alhamdulliah, dan boleh kerah diri lagi jika 10 tahun selepas itu masih okay.

"Disebabkan itulah saya tidak terikat membuat satu kerja saja. Saya takut kalau orang sudah bosan contohnya lakonan, nanti tiada apa-apa yang istimewa lagi ada pada saya.

"Satu lagi kenapa saya buat macam-macam adalah nak kumpul duit. Bukan sasar nak hidup mewah, beli itu ini, untuk masa depan. Takut nanti, orang sudah tak nak saya, jaminan kewangan masih ada," katanya.

Izzue yang baru terbabit mengacara Semi Final Muzik-Muzik 37 (SFMM37) juga menafikan dia adalah 'anak emas' TV3 kerana kerap diambil untuk program stesen itu.

Sebaliknya, dia bersifat terbuka dan sama rata dalam menerima setiap tawaran daripada stesen TV berbeza.

"Saya seimbangkan pembabitan dalam semua stesen TV. Pengurusan saya pun enggan lebihkan satu pihak, risau nanti dilabel 'anak emas' dan pilih kasih dengan stesen tertentu.

"Memang sejak dulu pun saya amalkan begitu tapi mungkin tahun ini kebetulan lebih kepada stesen tertentu. Tambahan pula, tempoh tayangan setiap program pun dekat-dekat," katanya yang juga hos I Can See Your Voice Malaysia 5 (ICSYVM5).

Dicalonkan Top 5 Pelakon Harapan Lelaki Terbaik untuk Festival Filem Malaysia 32 (FFM32) baru-baru ini menerusi filem Juang, Izzue ada keyakinan filem terbabit mampu menang besar.

"Macam boleh agak, filem itu besar, jalan cerita kuat pasal pandemik. Menggabungkan lima pengarah hebat pula. Kali pertama saya menonton naskhah itu, memang sangat-sangat dahsyat.

"Paparan watak saya dalam Juang pun ada berkaitan dengan kisah benar waktu pandemik iaitu seorang anggota polis dilanggar ketika bertugas," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 12:24 PM