ALIF Satar harap netizen lebih peka dan tidak mengeluarkan kata-kata keterlaluan di Instagramnya. FOTO Instagram Alif Satar dan Arkib NSTP
ALIF Satar harap netizen lebih peka dan tidak mengeluarkan kata-kata keterlaluan di Instagramnya. FOTO Instagram Alif Satar dan Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


“ORANG lain buat hal, orang lain pula dapat busuk,” kata pengurus, Alif Satar iaitu Adlina Abu Bakar apabila terdapat segelintir netizen yang mengaitkan penyanyi itu dengan kontroversi melanda penyanyi dan pelakon Aliff Aziz hari ini.

Adlina, 36, berkata ruangan komen Instagram Alif dihujani pertanyaan malah ada yang keliru hingga ‘menyerang’ tanpa usul periksa.

Menurutnya, ia bukan kali pertama terjadi kepada Alif kerana sebelum ini penyanyi dan pengacara itu juga pernah menanggung malu atas masalah sama yang ditimbulkan Aliff Aziz.

“Setiap kali Aliff Aziz buat hal, mesti nama Alif Satar yang naik. Netizen pula tanpa usul periksa pergi komen dan serang di Instagram. Kedua-dua mereka banyak perbezaan. Kenapa masih ramai keliru?.

“Macam kes hari ini, sekali lagi Alif kena. Sedangkan dia sedang bekerja di Brisbane, Australia yang turut disertai isterinya, Sha Dila. Tolong jangan ganggu dia.

“Cukuplah dua tahun lalu Alif memberi kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan netizen dan peminat. Takkan dia kena buat perkara sama lagi?,” katanya kepada Harian Metro.

Adlina berkata, setiap kali isu sama dibangkitkan pihaknya akan dihujani pertanyaan daripada klien.

“Saya tidak mahu perkara ini menjejaskan nama dan reputasi Alif terutama dalam kalangan klien yang bekerjasama dengannya. Jenuh nak menjawab satu persatu.

“Apa pun, saya berharap semua pihak jelas mengenai perkara ini. Alif Satar kini berada di luar negara bersama isteri tercinta. Kedua-dua Alif ini juga berbeza,” katanya.

Sementara itu, Alif yang dihubungi dengan ringkas berkata, dia mahu peminat jangan cepat membuat andaian sendiri.

“Saya ingat sudah tidak ada perkara ini, nampaknya ia berulang lagi. Kekeliruan yang timbul memang kelakar.

“Saya harap netizen lebih peka dan tidak mengeluarkan kata-kata keterlaluan di Instagram saya,” katanya.

Berita berkaitan

'Aliff Aziz buat hal lagi - Bella Astillah'

'Tunggu keluarga, baru komen - Aliff Aziz'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:41 PM