SUHAIMI membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu berikutan ugutan bunuh diterimanya di Facebook. FOTO Ihsan Suhaimi Saad
SUHAIMI membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu berikutan ugutan bunuh diterimanya di Facebook. FOTO Ihsan Suhaimi Saad
Syanty Octavia Amry


PENYANYI nasyid, Suhaimi Saad membuat laporan polis semalam, selepas menerima ugutan bunuh daripada seorang individu di laman Facebook miliknya.

Suhaimi ketika dihubungi berkata, laporan itu dibuat sebagai ikhtiar dan usahanya untuk memahamkan netizen bahawa ugutan bunuh bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat sebagai gurauan.

“Ia adalah jenayah berat. Berpada-padalah dalam menulis komen. Jangan terlalu mengikut nafsu sehingga memakan diri.

“Saya dan isteri sudah buat laporan polis terhadap ugutan bunuh itu di Balai Polis Kota Bharu petang semalam.

“Siasatan sedang dijalankan dan doakan yang baik-baik,” katanya.

Katanya, individu yang menggunakan nama Hakimi Mohamad itu juga pernah memberi ugutan sama terhadap artis, Yuhanis dan suami.

Terdahulu, individu berkenaan di ruangan komen menulis, ‘kau asyik naikkan amarah netizen, kau tunggu aku datang Kelantan. Kalau kau tak bertaubat, kepala kau aku penggal hidup-hidup. Rakaman secara live akan aku buat sendiri. Wallahi!’.

Sebelum ini Suhaimi mencetuskan kontroversi dengan tidak menghantar anak ke sekolah, tidak mengambil vaksin untuk anak dan percaya bentuk bumi adalah rata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 3:59 PM