FITRI Haris
FITRI Haris
Norhayati Nordin


PENYANYI nasyid, Fitri Haris kecewa dengan segelintir netizen yang melabelkan selebriti Islamik sebagai penunggang agama.

Fitri, 34, berkata, mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan. Jadi, adalah lebih wajar netizen mendoakan yang baik-baik saja.

Isu ‘penunggang agama’ ini menjadi hangat semula berikutan tindakan bekas peserta Pencetus Ummah dan penceramah bebas, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25, atau PU Abu menceraikan isterinya yang sarat mengandung dan berkahwin dengan ibu tunggal.

Fitri berkata, dia melihat situasi penunggang agama itu lebih ke arah persepsi masyarakat di mana golongan ilmuan tidak boleh melakukan kesilapan.

“Namun, jangan dilupa bahawa golongan ilmuan juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada membuat kesalahan,” katanya.

Menurut Fitri, dalam konteks persepsi sekarang, jika golongan ilmuan membuat silap, maka isu tercetus itu akan menjadi besar.

“Ini kerana apa yang dilihat kini adalah konsep ‘kau ceramah, aku dengar’ dan terus dijadikan sebagai idola. Bukan sekadar idola diri sendiri tetapi dititipkan juga kepada anak-anak supaya mencontohi individu ilmuan itu,” katanya.

Menurut Fitri, jangan sewenang-wenang memberi pandangan dan pendapat kerana ditakuti akan mencetus fitnah.

“Kita tidak duduk di tempat individu itu dan mana mungkin mengetahui cerita sebenar Jadi, jangan mudah membuat andaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:01 PM