NADIA Brian dilamar kekasihnya, Muizz Nasruddin di hadapan Menara Eiffel, Paris. FOTO Instagram Nadia Brian
NADIA Brian dilamar kekasihnya, Muizz Nasruddin di hadapan Menara Eiffel, Paris. FOTO Instagram Nadia Brian
Syanty Octavia Amry


SELEPAS mendedahkan kepada umum dia sudah mempunyai pasangan awal tahun ini, pelakon Nadia Brian, 27, mengumumkan dia kini menerima lamaran kekasihnya, Muizz Nasruddin dengan memuat naik gambar di laman Instagram (IG) miliknya, semalam.

Nadia yang kini berada di Paris, Perancis, ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, dia sangat terkejut dan menangis dengan apa yang berlaku kerana perancangan awal ke Paris untuk bercuti sekali gus mengambil gambar pra perkahwinan mereka.

"Sebenarnya rancangan asal saya ke sini (Paris) untuk bercuti dengan keluarga. Tapi sudah alang-alang di sini kami buat saja gambar pra perkahwinan.

“Memang tidak sangka Muizz tiba-tiba melamar, terus saya terkejut dan katakan 'ya'.

"Muiz seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan saya sungguh bertuah dapat mengenalinya," katanya. Nadia berkata, jika tiada halangan majlis perkahwinan akan diadakan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Berkongsi mengenai perkenalan dengan Muizz, Nadia berkata, dia mengenali jejaka itu menerusi kawannya dua tahun lalu namun hanya sekadar rakan biasa dan mereka kembali rapat hujung tahun lalu.

"Saya memilih Muiz kerana melihat sikapnya yang bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa untuk lebih mengenali saya.

"Sebagai pelakon saya bekerja tidak tentu masa tetapi dia sentiasa memahami malah tidak segan untuk bertemu dengan keluarga dan itu yang membuatkan terbuka hati menerima lamarannya," katanya.

Terdahulu, menerusi entri di IG miliknya, Nadia berkongsi gambar dilamar Muizz ketika berada di hadapan Menara Eiffel, Paris.

Menerusi ruangan komen, ramai mengucapkan tahniah kepada Nadia dan mendoakan semoga segala perancangannya dengan pasangan untuk mendirikan rumah tangga berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 5:08 PM