BAWA watak lelaki dilabel pengganas dalam
BAWA watak lelaki dilabel pengganas dalam
Syazwan Jefri

Usia tidak menjadi ukuran buat pelakon versatil Faizal Hussein. Baginya, selagi terdaya dan sihat tubuh badan, dia akan terus beraksi. Beri apa saja karakter, pasti dapat dibawa dengan sepenuh jiwa.

Bakatnya juga berjaya menempatkan Faizal sebagai antara pelakon drama bersiri Strike Back yang ditayangkan di saluran Cinemax.

Faizal tampil dalam dua episod iaitu episod tujuh dan lapan dalam siri yang masuk musim ketujuh dan tentu ia pencapaian baik buat dirinya.

“Dalam Strike Back, saya bawa watak Hassan yang kononnya dilabel sebagai pengganas.

“Menariknya, penerbit tidak membuatkan penonton memandang karakter Hassan dari sudut negatif semata-mata, tetapi turut memberi penjelasan kenapa dia terpaksa bertindak sebagai pengganas,” katanya.

Secara ringkasnya, karakter Hassan dianggap pengganas apabila menegakkan keadilan selepas kuasa Barat ingin mengambil tanah milik orang tempatan yang sepatutnya diwakaf bagi membina masjid.

“Daripada situ, penonton dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku dan daripada perspektif mata Hassan sendiri, dia bukanlah pengganas sebaliknya pejuang untuk menegakkan keadilan,” katanya.

Jarang muncul dalam drama TV tempatan, Faizal mengakui tidak banyak mengambil tawaran atas beberapa sebab.

“Kalau kita lihat drama tempatan, pelakon seusia saya akan bawa watak bapa.

“Apabila tampil sebagai bapa, yang dipaparkan orang tua yang sakit dan sebagainya. Berbeza dengan produksi luar yang masih memberikan peluang kepada saya untuk melakukan babak aksi,” katanya.

Jalani penggambaran siri web

Terbaharu, Faizal menjalani penggambaran siri web terbitan Viu berjudul Devoted.

“Dalam siri web ini, saya melakonkan watak Inspektor Musa. Menariknya, pada bahagian awal, penonton akan tertanya-tanya sama ada Musa baik atau jahat,” katanya.

Faizat berkata, dia tertarik membintangi siri web 10 episod itu kerana mahu merasai cara kerja berbeza.

“Siri web ini berbeza kerana ada sekumpulan pengarah yang terdiri daripada seorang ketua dan dibantu tiga sutradara lain.

“Jadi, percambahan idea mereka lebih pelbagai. Disebabkan itu saya nampak naskhah ini berbeza daripada yang lain,” katanya.

Selain Faizal, Devoted yang ditayangkan pada 28 Mac itu turut dibintangi pelakon hebat termasuk Aqasha dan Iman Corinne.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:39 AM