SEUNGRI dituduh menguruskan khidmat seks untuk pelabur potensi dan pelanggan kaya. FOTO AFP
SEUNGRI dituduh menguruskan khidmat seks untuk pelabur potensi dan pelanggan kaya. FOTO AFP

Seoul: Sebuah mahkamah Korea Selatan semalam enggan mengeluarkan waran tangkap ke atas bintang K-pop, Seungri yang berdepan dakwaan termasuk pelacuran dalam skandal seks dikaitkan dirinya, lapor agensi berita Yonhap.

Penyanyi berusia 28 tahun daripada kumpulan lelaki popular BIGBANG dan rakan kongsinya dituduh menguruskan khidmat seks untuk pelabur potensi dan pelanggan kaya di sebuah kelab malam dimiliki mereka.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul berkata, ada ‘ruang pertikaian’ berhubung dakwaan menggelapkan wang dan hanya sedikit kebimbangan dia mungkin memusnahkan bukti.

Dengan keputusan berkenaan Seungri dibebaskan tetapi masih berdepan dengan tuduhan berkenaan.

Terdahulu, Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-hyun, hadir di mahkamah mendengar pertuduhan ke atasnya.

Dia kemudian meninggalkan bangunan dalam keadaan tangannya bergari dan ditutup dengan kain serta dibawa ke pusat tahanan berhampiran menunggu keputusan mahkamah.

Penyiasat polis mendakwa, Seungri dan rakan kongsinya mendapatkan puluhan pelacur untuk sekumpulan pelabur Jepun pada 2015 di kelab malam mewah mereka, Burning Sun, menurut agensi berita itu.

Kedua-duanya juga dituduh menggelapkan kira-kira 530 juta won (RM1.88 juta) daripada perniagaan itu dan berdepan dakwaan melanggar kod kebersihan di kelab malam terbabit, di mana pengedaran dadah berleluasa dan wanita kerap dirogol. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 10:32 AM