ALISON Kraus
ALISON Kraus
Georgie Joseph


BAKAL berlangsung untuk edisi yang ke-61 pada 11 Februari ini di Staples Center, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Grammy Awards sememangnya dinanti-nantikan seluruh dunia terutama buat penggiat muzik.

Anugerah berprestij yang diadakan setiap tahun itu menjadi medan untuk menentukan siapa terbaik dalam bidang muzik.

Sesiapa yang menang bermakna mereka adalah terbaik antara yang terbaik.

Setiap penggiat muzik sekurang-kurangnya mengidam untuk dicalonkan dalam anugerah itu.

Menang satu trofi juga adalah sejarah yang indah untuk dikenang sampai bila-bila.

Bagaimanapun, sepanjang penganjuran lebih enam dekad, rata-rata pemenangnya terdiri daripada nama besar dari AS dan Britain.

Namun, Grammy sentiasa membuka pintu buat mana-mana pemuzik dari seluruh dunia. Asalkan karyanya bagus dan layak dipertandingkan, kewarganegaraan bukanlah kekangan.

Kemenangan yang diraih sekali gus menjadi profil mereka untuk melebarkan legasi muzik seluruh dunia.

Namun, artis dari AS membuktikan mereka terbaik apabila mendominasi kemenangan dalam sejarah penganjurannya.

Berikut antara 10 pemenang trofi paling banyak dalam sejarah Grammy Awards.

Alison Kraus - 27 trofi

Dalam arena muzik country, Alison, 47, adalah seorang legenda.

Memulakan karier seawal usia 14 tahun dan kemuncak kariernya adalah pada 1990-an di mana kejayaan dan pengiktirafan tidak putus-putus diterima.

Dia memenangi 27 trofi Grammy Awards dan menjadi artis wanita paling banyak memenangi anugerah itu.

Stevie Wonder - 25 trofi

Legenda ini sememangnya bukan nama asing dan menjadi idola pemuzik di seluruh dunia.

Dia yang cacat penglihatan membuktikan kekurangan itu bukan kekangan untuk gagal dalam bidang muzik. Satu persatu karyanya menjadi luar biasa dan walaupun berganti era, namanya terus disegani ramai.

Stevie yang masih aktif pernah menjadi juri untuk program fenomena, The Voice.

U2 - 22 trofi

Lagu With Or Without You dendangan band legenda dari Dublin, Ireland ini sememangnya sangat berhantu hingga hari ini.

Mempertaruhkan muzik rock dan ‘post punk’, kehebatan U2 tidak dapat disangkal lagi dan berjaya menghasilkan terlalu banyak karya keramat.

Secara keseluruhan, semua album mereka terjual lebih 170 juta unit di seluruh dunia sekali gus meletakkan mereka antara artis paling laris dalam sejarah.

U2
U2

Beyonce - 22 trofi

Sejak eranya bersama Destiny’s Child hinggalah bergerak solo, Beyonce membuktikan dia adalah penyanyi terbaik dunia dengan karya muziknya di kelas tersendiri.

Legasi dibinanya bukan calang-calang dan layak digelar legenda.

Bukan satu kejutan apabila dia turut tersenarai antara penerima trofi terbanyak Grammy Awards. Ini disebabkan penyanyi R&B itu bijak apabila kerap lancarkan album yang sememangnya cukup luar biasa.

BEYONCE
BEYONCE

Kanye West - 21 trofi

Menjadi penyanyi hip hop paling berpengaruh sepanjang zaman, empayar muzik dibina Kanye sudah cukup kukuh.

Turut menerbitkan album dan lagu untuk artis lain termasuklah Alicia Keys, Jay Z, Ludacris dan ramai lagi, cukup membuktikan kredibilitinya.

Walaupun kerap dihambat kontroversi, tetapi ia tidak menenggelamkan hakikat bahawa dia seorang pemuzik kelas A.

Jay Z - 21 trofi

Seperti Kanye, Jay Z juga terus cemerlang dalam bidang penerbitan lagu selain menyanyi. Dia menjadi tulang belakang penting kepada kejayaan ramai artis hebat termasuklah isterinya Beyonce dan Rihanna.

Jay Z juga berjaya memartabatkan nilai muzik hip hop untuk dipandang tinggi termasuklah di Grammy Awards. Tidak hairan, namanya terus mendapat tempat dalam pencalonan anugerah itu.

Aretha Franklin - 18 trofi

Legenda ini menjadi sumber inspirasi buat hampir semua penyanyi wanita di seluruh dunia.

Sampai bila-bila pun namanya terus disanjung dan buktinya seluruh dunia berkabung selepas Aretha meninggal dunia pada 16 Ogos tahun lalu.

Penyanyi itu nyata satu dalam sejuta. Bahkan, pada saat-saat sebelum dia pergi selamanya pun Aretha tidak pernah berhenti daripada terus mewarnai seni muzik dunia.

Paul McCartney - 18 trofi

Dari zaman kegemilangan The Beatles hinggalah band itu dibubar, Paul terus membawa legasi berkenaan hingga ke hari ini.

Kewibawaannya dalam menyebarkan mesej positif dalam muzik sememangnya berjaya menjadi inspirasi buat seluruh dunia terutama peminat setianya.

Kekuatan itulah yang kerap menjadi sandaran untuknya terus mendapat pengiktirafan termasuklah daripada Grammy Awards.

Adele - 15 trofi

Pada 2006, penulis lagu dan penyanyi ini tiba-tiba menjadi sebulan satu dunia. Semua memperkatakan mengenai karyanya yang membawa sentuhan sangat berbeza.

Setiap bait lirik lagunya menyentuh daripada pelbagai sudut berbeza. Kerap dikaitkan dengan tubuh gempalnya, namun itu bukan kekangan untuk muziknya merentasi segenap sudut dunia.

Walaupun baru tampil dengan tiga album, sudah cukup untuk memahat namanya sebagai pemuzik terbaik pernah dilahirkan.

ADELE
ADELE

Alicia Keys - 15 trofi

Sukar untuk menidakkan magis dalam penulisan lagu Alicia.

Penyanyi ini bukan saja hebat sebagai pencipta lagu, namun kemampuannya menyampaikan mesej lagu dengan tulus membezakannya daripada penyanyi lain.

Terutama di pentas, aura Alicia tiada tandingannya dan mampu mengawal perjalanan emosi penonton dari awal sampai hujung nyanyiannya.

Perkara itu juga terserlah dalam penulisan lagu. Alicia kekal diingati dengan beberapa album yang berada di kelas tersendiri dan selayaknya menang banyak trofi di Grammy Awards.

FAKTA

Artis dari AS membuktikan mereka terbaik apabila mendominasi kemenangan dalam sejarah penganjurannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:57 AM