Beyonce lakar sejarah di Anuegrah Grammy ke-65.
Beyonce lakar sejarah di Anuegrah Grammy ke-65.
Agensi

Los Angeles: Penyanyi dan penulis lirik terkenal dari Amerika Syarikat, Beyonce melakar sejarah apabila menjadi penerima trofi terbanyak sepanjang zaman selepas merangkul empat trofi pada Anugerah Grammy Ke-65 hari ini.

Beyonce memenangi anugerah Album Muzik Tarian/Elektronik Terbaik menerusi album Renaissance, Lagu R&B Terbaik (lagu Cuff It), Rakaman Tarian/Elektronik Terbaik (lagu Break My Soul) dan Persembahan R&B Tradisional Terbaik (lagu Plastic Off The Sofa).

Ia sekali gus melengkapkan trofi Grammy ke-32 dan berjaya memintas rekod yang dipegang oleh Georg Solti dengan 31 trofi.

Beyonce berkata dia cuba untuk tidak terlalu emosi dan berterima kasih kepada peminat serta mereka yang membantunya dalam menjayakan setiap karya.

"Saya ingin berterima kasih kepada Tuhan kerana melindungi saya, ibu bapa menyayangi dan menjadi pendorong. Juga buat suami dan tiga cahaya mata yang sedang menonton di rumah.

"Selain peminat dan rakan-rakan saya. Terima kasih juga kepada Grammy," katanya.

Sementara itu, penyanyi Harry Styles dinobatkan pemenang Album Vokal Pop Terbaik menerusi album Harry's House yang diterbitkan, tahun lalu.

Bekas anggota kumpulan One Direction itu berjaya mengenepikan cabaran kumpulan vokal 'otai' ABBA yang mempertaruhkan album Voyage; penyanyi Adele (30); Coldplay (Music of the Spheres) dan penyanyi Lizzo (Special).

Anugerah Grammy pada edisi kali ini menyaksikan Beyonce mendahului dengan sembilan pencalonan. Antaranya, Album Terbaik Sepanjang Tahun, Rekod Terbaik Sepanjang Tahun, Lagu Terbaik termasuk enam kategori lain.

Ia diikuti Styles ada Adele yang menerima tujuh pencalonan bersama, termasuk Album Terbaik, Rekod Tahun, Lagu Terbaik, Video Muzik Terbaik dan Persembahan Solo Pop Terbaik.

Anugerah pengiktirafan industri muzik terbesar itu dikendalikan pengacara dan pelawak, Trevor Noah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:14 PM