ISSEY. FOTO Arkib NSTP
ISSEY. FOTO Arkib NSTP
Amirul Haswendy Ashari.


PENYAMPAI radio Suria FM, Issey Fazlisham, 31, akui tiada masalah dengan bekas penyampai bersama, Shahrol Shiro yang ditamatkan kontrak lebih awal oleh pihak pengurusan stesen radio itu.

“Sebenarnya saya dan Shahrol tiada masalah, malah kami berkawan baik seperti biasa.

“Pasal kerja, itu antara dia dan pengurusan kerana selama kami bekerjasama tiada masalah," katanya.

Issey ditemui selepas pelancaran single pertamanya berjudul Alololo di Shah Alam, mengakui dia bersama Shahrol dan Fizi Ali yang mengendali segmen Team Pagi Suria diibaratkan seperti 'buddy'.

Pun begitu, dia mendakwa mungkin isu yang berlaku pada Shahrol memberi kesan kepada imej radio.

“Saya dan Fizi langsung tidak masuk campur termasuk untuk 'slow talk' dengan dia pasal isu yang berlaku.

“Dia kawan yang sangat bagus tapi sebagai rakan sekerja apabila kami bekerja, saya letakkan ketepi soal masalah dengan pihak pengurusan,” katanya.

Issey akui sekiranya timbul masalah berkaitan kerja antara mereka, selalunya mereka menasihati antara satu sama lain agar terus bertemu dengan pihak pengurusan radio.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Suria FM menamatkan kontrak Shahrol sebagai penyampai radio lebih awal kerana masalah disiplin dan prestasi kurang memuaskan pada 11 Januari lalu.

Malah, dia juga didakwa ingkar perintah dan melanggar peraturan serta garis panduan kerja yang ditetapkan seperti tidak hadir bertugas tanpa pemberitahuan, lewat memulakan tugas sebagai penyampai segmen pagi, kerap mengambil cuti sakit tanpa sijil MC dan tidak menghadirkan diri ke acara anjuran Suria FM.

Pada masa ini, segmen yang bersiaran dari jam 6 hingga 10 pagi itu dikendalikan Fizi Ali dan Issey, tetapi tempat Issey ketika ini digantikan Ain Sufia kerana dia bercuti selama seminggu.

Berita berkaitan

Suria FM tamatkan kontrak Shahrol lebih awal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 9:10 PM