IZZUE mahu kembali di konti bagi mengasah lagi pengalaman menjadi penyampai radio. FOTO Arkib NSTP
IZZUE mahu kembali di konti bagi mengasah lagi pengalaman menjadi penyampai radio. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


TERUJA mengelolakan slot Team Pagi Suria di Suria FM, penyanyi dan pelakon, Izzue Islam tidak menolak jika karier seninya berkembang kepada penyampai radio selepas ini.

Izzue bergandingan bersama Fizi Ali dan Issey Fazlisham menerusi slot berkenaan berkata, ia adalah bidang baru dan satu pengalaman berharga yang harus direbut walaupun sangat mencabar baginya.

"Saya mengelolakan Team Pagi Suria dari jam 6 hingga 10 pagi. Satu pengalaman baru apatah lagi perlu ke udara awal pagi saya perlu kuat daripada segi mental dan fizikal serta sentiasa segar untuk menarik perhatian pendengar.

"Saya akui segala tugas yang diberi juga mencabar kerana baru pertama kali berada di konti dan perlu menemubual orang, biasanya orang menemubual saya.

"Tidak mudah rupanya untuk menghafal isu yang perlu dibahas pada waktu ke udara. Segalanya perlu cepat dan pantas," katanya.

Untuk slot itu, Izzue ke udara selama seminggu sejak Isnin lalu hingga esok.

Katanya, jika diberi peluang dia mahu kembali di konti bagi mengasah lagi pengalaman untuk bergelar seorang penyampai radio.

"Satu pengalaman yang sangat menyeronokkan ditambah pula Fizi dan Issey banyak membantu. Memang susah dan mencabar tetapi saya tidak serik untuk mencuba lagi.

"Andai diberi peluang saya mahu kembali lagi ke konti tidak kira berapa lama tempoh yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 9:37 PM