Issey bergandingan dengan Fizi Ali dan Shahrol Shiro untuk slot 'Team Pagi Suria' bersiaran dari 6 pagi hingga 10 pagi. FOTO Instagram Issey
Issey bergandingan dengan Fizi Ali dan Shahrol Shiro untuk slot 'Team Pagi Suria' bersiaran dari 6 pagi hingga 10 pagi. FOTO Instagram Issey
Norhayati Nordin


PENYAMPAI radio, Issey Fazlisham, 31, menafikan dakwaan kononnya dia memilih menamatkan kontrak dengan Hot FM lebih awal untuk berkhidmat di stesen Suria FM disebabkan tertarik dengan tawaran bayaran gaji lebih tinggi.

Menurut Issey, dia bertindak menamatkan kontrak lebih awal yang sepatutnya tamat pada Mac 2019 kerana mahu fokus pada lakonan dan urusan perniagaannya

"Saya nafi dengan tegas dakwaan berkaitan gaji itu dan untuk makluman tawaran daripada Suria FM pun diperoleh secara kebetulan selepas saya memohon untuk tamatkan kontrak lebih awal.

"Ada beberapa sebab tersendiri yang mendorong saya buat keputusan meninggalkan stesen Hot FM.

"Antaranya, saya mahu lebih aktif dalam karier lakonan termasuk memberi perhatian pada urusan perniagaan sendiri.

"Terus-terang, selain menjadi penyampai radio, saya sangat sayangkan kerjaya lakonan. Saya mahu terus aktif berlakon.

“Malah, perniagaan kedai makan yang diusahakan dengan rakan juga menjadi keutamaan saya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Fazlisham Mat Hussin ini berkata, apa yang pasti, dia juga tidak ada konflik atau perbalahan dengan pihak stesen Hot FM.

"Saya meninggalkan Hot FM dengan cara baik selepas berbincang. Memang tidak membabitkan apa-apa isu langsung.

"Saya juga tidak ada sengketa dengan sesiapa selama berkhidmat dengan stesen itu sekitar 2016 lalu.

Terdahulu, Issey dikatakan sanggup menamatkan kontraknya dengan Hot FM lebih awal ekoran menerima tawaran bayaran lebih tinggi oleh Suria FM.

"Soal tawaran gaji saya di stesen Suria FM kini, ia berpatutan dan setimpal dengan tanggungjawab tugas yang digalas" katanya.

Di Suria FM, Issey berganding dengan Fizi Ali dan Shahrol Shiro untuk slot 'Team Pagi Suria' bersiaran dari 6 pagi hingga 10 pagi.

Ujarnya, memang dia seronok kerja di konti radio pada waktu pagi kerana sebelah petang dan malam boleh ditumpukan pada cabang seni lain.

Issey berkata, setakat ini gandingan dia bersama Fizi dan Shahrol juga dilihat mendapat penerimaan baik dan positif daripada pendengar Suria FM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 11:27 AM