Jihan bersama Fara (empat dari kiri) dan Zara (lima dari kiri) dalam misi Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE). FOTO IG Jihan Muse
Jihan bersama Fara (empat dari kiri) dan Zara (lima dari kiri) dalam misi Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE). FOTO IG Jihan Muse
Jihan sertai program bantuan kemanusiaan di Sulawesi. FOTO IG Jihan Muse
Jihan sertai program bantuan kemanusiaan di Sulawesi. FOTO IG Jihan Muse
Syafil Syazwan Jefri


PENGACARA dan pelakon, Jihan Muse yang kini berada di Palu, Indonesia berhasrat mewujudkan kesedaran dalam hati rakyat Malaysia supaya membantu mereka yang memerlukan.

Menurut Jihan, 36, dia yang menyertai program bantuan kemanusiaan, Misi Dapur Kaseh Buat Sulawesi ingin mengubah persepsi masyarakat yang menganggap golongan artis bersikap riak apabila berkongsi mengenai kerja amal di media sosial.

“Sebagai selebriti, kadang-kadang niat kami berkongsi mengenai kerja-kerja amal dan misi kemanusiaan adalah untuk wujudkan kesedaran dalam hati masyarakat kita.

“Namun, saya tak nafikan, ada juga individu yang menganggap apa yang dilakukan ini sebagai riak dan sebagainya. Jadi, kita tak boleh ada persepsi sebegitu,” katanya kepada Harian Metro.

Tambahnya lagi, dengan berkongsi mengenai aktiviti kerja amal dan kemanusiaan di media sosial, secara tak langsung ada manfaat buat mereka yang memerlukan.

“Dengan berkongsi di media sosial contohnya, secara tak langsung saya dapat mengajak pengikut atau peminat untuk menyumbangkan bantuan untuk dana.

“Kalau kita tak mampu untuk pergi atau terbabit sama pun, setidak-tidaknya, boleh menyumbangkan sumbangan wang ringgit untuk membantu membeli barangan keperluan mereka yang memerlukan,” katanya.

Jihan berkata, dia yakin apabila banyak berkongsi rezeki, Allah akan berikan lebih banyak rezeki kepada kita.

Jihan terbang ke Palu bersama dua lagi rakan selebriti iaitu Fara Fauzana dan Zara Zya pada Sabtu lalu dan akan menjalankan misi bantuan sehingga Khamis ini.

Di Palu, Jihan bersama 10 anggota rombongan dari beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia membantu menyediakan makanan, mengedarkan barangan keperluan dan menghiburkan mereka yang masih lagi trauma akibat Tsunami yang menghentam Palu pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 1:31 PM