ANGGOTA Rabbani bersama Abu Backer (tengah).
ANGGOTA Rabbani bersama Abu Backer (tengah).
Michelle Gun

Meskipun ada banyak kumpulan nasyid baru, sukar untuk mereka menandingi populariti dan keunggulan Rabbani, Raihan dan Hijjaz.

Industri sememangnya memerlukan pelapis bagi meneruskan legasi yang sudah dibentuk kumpulan sedia ada namun antara kekangannya, ada dalam kalangan penyanyi nasyid solo dan berkumpulan begitu selesa berada dalam kelompok mereka saja.

Hakikatnya, mereka perlu ‘keluar’ untuk melihat dan mencari ilham terutama dalam penciptaan karya baru yang lebih segar.

Perkara itu turut diakui Azadan Abdul Aziz daripada kumpulan Rabbani. Katanya, walaupun lebih tiga dekad memperjuangkan irama nasyid, mereka terus meneroka dan mencari ruang baru untuk bekerjasama dengan penggiat seni hebat serta berpengaruh dalam industri.

“Rabbani enggan terikat dengan lagu nasyid statik, tidak berkembang dan lama-kelamaan terus dipandang sepi peminat muzik.

“Setiap tahun kami akan hasilkan single baru menggunakan khidmat pencipta lagu dan penulis lirik terkenal. Kami juga akan berkolaborasi dengan penyanyi muda seperti Khai Bahar untuk menarik peminat baru.

“Pelapis muda perlu berani membuat pembaharuan dengan memberi nafas baru kepada lagu nasyid dan ketuhanan. Kebanyakannya begitu selesa menyanyikan lagu ciptaan sendiri,” katanya.

Terbaru, Rabbani bekerjasama dengan Yayasan SAMDE (Sekolah Agama Menengah Darul Ehsan) menubuhkan Akademi Nasyid Malaysia (ASIM) bagi membuka ruang kepada penggiat seni Islam di negara ini untuk terus berkembang sekali gus memartabatkan semula irama nasyid dan melahirkan generasi baru pencinta nasyid.

“Secara rasminya ASIM akan ditubuhkan awal tahun depan dengan visi untuk menyatukan industri nasyid dan membawa genre ini ke peringkat tertinggi,” katanya.

Jelas Azadan, ASIM akan menyediakan khidmat latihan nasyid merangkumi vokal, muzik dan pengurusan acara.

Sementara itu Setiausaha Yayasan SAMDE Datuk Abu Backer Sidek berkata, pihak yayasan memilih untuk bekerjasama dengan Rabbani kerana kumpulan itu banyak memberi idea bagi merealisasikan ASIM.

“Berserta pengalaman yang mereka ada, yayasan yakin segala perancangan akan berjalan lancar. Yayasan juga akan bekerjasama dengan kumpulan nasyid lain seperti Raihan dan Hijjaz untuk ‘meminjam’ kepakaran mereka bagi melatih peserta akademi nanti.

“Pada peringkat awal, ASIM akan mencungkil bakat penyanyi nasyid dalam kalangan pelajar sekolah agama swasta, sekolah rendah dan kebangsaan, seterusnya barulah kita pergi ke peringkat lebih tinggi iaitu institut pengajian tinggi awam dan swasta.

“Kami akan mengadakan pertandingan nasyid peringkat sekolah terlebih dulu dan barulah akan pergi ke peringkat daerah, negeri dan antarabangsa,” katanya.

Ujar Abu Backer, ASIM juga bercadang menerbitkan program realiti nasyid bersama stesen televisyen terpilih.

“Mungkin sampai satu peringkat, ASIM akan menjadi tempat rujukan mengenai perkembangan nasyid di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 11:30 AM