ANUAR Zain. FOTO arkib NSTP
ANUAR Zain. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal


"PADA mulanya, saya sangat terkejut baca komen penuh sindiran dan tidak ikhlas yang ditinggalkan seorang pengikut di laman instagram peribadi kerana baru kira-kira dua bulan membuka akaun berkenaan.

"Selepas disiasat siapa pemilik akaun terbabit, rupa-rupanya, dia juga seorang artis baru dan saya juga tidak menyangka ada artis yang sanggup memperlakukan artis lain sedemikian di media sosial," kata penyanyi popular Anuar Zain, 48, ketika mengulas perkembangan akaun Instagram peribadi miliknya @anuarzain70.

Akaun Instagram itu sudah mempunyai lebih 27,000 pengikut sejak beroperasi 12 September lalu.

Namun, kata penyanyi lagu Sedetik Lebih itu, dia kini lebih berhati-hati untuk memberi sebarang komen di laman instagram peribadi miliknya selepas ini.

"Saya masih baru memiliki akaun instagram peribadi dan tidak tahu permainan orang lain untuk mereka nampak baik di media sosial.

"Ramai orang suka memberi komen berbaur provokasi dan akhirnya kita pula yang nampak jahat di mata orang ramai," katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, kata Anuar, dia juga banyak meminta pandangan rakan artis seperti Siti Sarah yang aktif di laman sosial untuk berdepan dengan komen negatif di media sosial.

"Sarah beritahu supaya saya hanya baca saja komen negatif dan tidak perlu simpan dalam hati atau komen semula.

"Ada juga rakan yang meminta saya untuk membaca komen netizen di laman instagram Neelofa.

"Terus terang, saya sangat kagum dengan artis seperti Neelofa yang tetap tenang bila berdepan dengan komen netizen yang sangat teruk.

"Saya cuma hairan, netizen yang beri komen seperti itu tidak takut dengan kesannya meninggalkan komen negatif sedemikian?"katanya.

Bagaimanapun, Anuar juga sudah mengakui kepentingan media sosial untuk mengembangkan lagi karier seni dan bisnes diceburinya ketika ini.

"Saya masih belajar untuk memuat naik foto sendiri di laman instagram peribadi.

"Saya berasa selesa bila setiap kali memuat naik status dan komen, dapat buat peminat gembira sekali gus memberi semangat kepada mereka.

"Apa yang penting, saya tidak beli pengikut kerana seramai lebih 27,000 orang di laman instagram peribadi adalah peminat setia yang menyokong karier seni sejak dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 12:42 PM