Ramlah Zainal

Sukar menidakkan kemampuan raja balada, Saleem beraksi di pentas persembahan sejak berkecimpung dalam industri muzik tanah air hampir tiga dekad lalu.

Pada usia 56 tahun, penyanyi kumpulan Iklim yang popular dengan lagu Suci Dalam Debu ini terus tampil dengan persembahan bertenaga untuk menghiburkan peminat setianya.

Seperti dijangka, persembahan Saleem Live In KL yang berlangsung di House, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, malam kelmarin tidak menghampakan peminatnya.

Walaupun tampil solo, persembahan Saleem turut mengimbau zaman kegemilangannya sepanjang terbabit dalam bidang nyanyian.

Sebagai penghibur berpengalaman, Saleem juga bijak berkomunikasi dengan penonton dan sangat menghargai sokongan peminat setianya.

Bagi pemilik nama sebenar, A M Salim Abdul Majeed ini, dia terus bertahan dalam industri muzik tanah air kerana sokongan peminat setianya sampai sekarang.

“Saya sudah berkecimpung dalam industri muzik hampir 30 tahun dan masih menyanyi di sini kerana sokongan peminat.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras merealisasikan persembahan malam ini terutama pihak House yang beri peluang untuk saya menyanyi di sini.

“Persembahan ini juga tidak akan berjaya tanpa barisan pemuzik pengiring yang bagus pada malam ini,” katanya.

Persembahan Saleem diiringi barisan pemuzik berpengalaman iaitu Lola (dram) dan Eddie (bass) dari XPDC, Lan Dragon Malaya (gitar) dan Fuad (keyboard).

Pada malam itu, Saleem berjaya menghiburkan peminatnya dengan rangkaian 20 lagu termasuk lagu popularnya secara medley seperti Bukan Niatku, Suci Dalam Debu, Bukan Aku Tak Cinta, Gerhana Cinta Luka, Aduhai! Seribu Kali Sayang, Juwita, Satu Kesan Abadi dan Blues Terengganu Kita.

Tidak ketinggalan, lagu Kamelia nyanyian asal Sweet Charity dan Soldier Of Fortune daripada Deep Purple.

Walaupun menampilkan banyak lagu termasuk rancak yang menguji kekuatan vokalnya, Saleem tetap berjaya menyampaikan lagu itu dengan baik.

Persembahan Saleem juga bertema santai kerana dia mahu penonton untuk sama-sama menyanyi dengannya.

Rata-rata peminat tidak berganjak dari tempat duduk sehingga persembahan yang dibahagikan kepada dua segmen itu berakhir jam 12 tengah malam.

Tarik peminat generasi muda

Tidak dinafikan, persembahan Saleem Live In KL juga berjaya menarik ramai peminat dalam kalangan generasi muda.

Malah, lokasi House, G Tower yang boleh memuatkan 1,000 penonton itu juga dipenuhi peminat Saleem yang rata-rata separuh lebih muda daripada usianya.

Selain itu, kehadiran peminat lama yang membesar dengan rangkaian lagu popular Saleem dari album pertamanya dulu.

Pada malam itu, penyanyi Qody Mentor yang juga protege Black tampil membuat persembahan pembukaan.

Qody yang baru muncul dengan single Biar Aku menghiburkan peminat menerusi tiga lagu.

Beberapa rakan artis seperti Zahid dan Haqiem Rusly turut hadir memberi sokongan pada persembahan Saleem pada malam itu.

Saleem Live In KL juga anjuran Triple Work Entertainment.

Sebelum ini, Showcase Saleem Raja Balada - Syokkk Ooo di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 20 April lalu juga berjaya menarik lebih 500 peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 2:00 PM